PUTRAJAYA - Datuk Junipah Wandi dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu menggantikan Datuk Ja'afar Mahad yang bersara wajib berkuat kuasa 20 Januari ini.
Junipah, 51, sebelum ini adalah Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi SPRM.
Ja’afar dalam ucapan di Majlis Paluan Berundur di sini berkata, beliau berharap penggantinya akan meneruskan usaha untuk mendapatkan peruntukan pembangunan bagi pembinaan empat kompleks pejabat SPRM negeri yang belum memiliki bangunan sendiri iaitu di Sabah, Kedah, Perlis dan Labuan.
Majlis Paluan Berundur hari ini dihadiri Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki.
Latheefa Koya dalam sidang media selepas majlis itu berkata, beliau akan memberikan kerjasama kepada polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan wujud komplot menyebarkan tohmahan terhadapnya dan suruhanjaya itu, sekiranya dipanggil untuk berbuat demikian.
"Mereka (polis) mungkin akan panggil saya, dan saya akan beri kerjasama," kata beliau yang merujuk kepada laporan polis dibuat Pegawai Khas Undang-undangnya, Shasha Lyna di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, Selasa lepas berhubung dakwaan wujud komplot berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Komplot cemar reputasi, SPRM buat laporan polis
Ada komplot jenayah mahu calar reputasi saya: Latheefa Koya
Tohmahan itu didakwa wujud selepas sidang media SPRM pada 8 Januari lepas yang mendedahkan rakaman audio perbualan berkaitan kebocoran maklumat melibatkan beberapa individu termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Kami sangat gembira dengan kerjasama yang diberikan (polis),” tambahnya.
Semalam, SPRM dalam kenyataan memberitahu satu pasukan polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman berada kira-kira empat jam di ibu pejabat SPRM bagi merakam kenyataan Latheefa dan beberapa yang lain berhubung pendedahan rakaman audio perbualan itu.- Bernama