PEMAIN Selangor FC, Faisal Halim akan diberikan makanan yang mengandungi unsur protein sebagai diet utama sepanjang dia menjalani proses rawatan dan pemulihan di sebuah hospital swasta di Shah Alam.
Ketua Perubatan Sukan kelab tersebut, Dr Muhammad Hazwan Khair berkata, nutrisi pemain berusia 26 tahun itu menjadi antara keutamaan mereka, selain diet lembut bagi memudahkannya untuk makan.
"Diet lembut untuk keselesaan Faisal, namun apa yang paling penting adalah nutrisi yang sesuai. Jadi nutrisinya dikawal dan dipantau rapi dengan komposisi nutrisi melibatkan diet tinggi protein.
"Diet ini akan membantu proses pemulihan Faisal. Diet lembut itu sebagai medium dan ia cara yang lebih selesa buat pemain itu," katanya ketika ditemui media di lobi hospital pada Khamis.
Menyentuh sama ada Faisal berupaya makan sendiri atau memerlukan bantuan, Muhammad Hazwan memberitahu, pemain itu melakukannya sendiri.
"Faisal makan sendiri seperti biasa. Buat masa ini, nutrisi menjadi antara perkara yang menjadi keutamaan selain langkah berhati-hati bagi mengelak jangkitan," katanya.
Sebagai rekod, Faisal sudah menjalani dua daripada empat prosedur pembedahan iaitu pada Ahad dan Selasa, manakala pembedahan ketiga dijadual pada petang ini.
Perkembangan positif pemain sayap itu menyaksikan dia akan memasuki fasa rawatan rekonstruktif (reconstructive) bagi mengubati lecur tahap empat yang dialaminya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!