PETALING JAYA - Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengingatkan agar mana-mana pihak tidak menimbulkan sebarang spekulasi berkaitan insiden simbah asid membabitkan tonggak skuad Selangor FC, Faisal Halim di sebuah pusat beli belah dekat Kota Damansara di sini.
Mohd Shuhaily berkata, sumber yang sahih dan rasmi hanya datang daripada pihak polis berdasarkan siasatan dijalankan.
"Sebarang spekulasi yang ditimbulkan berkaitan insiden ini akan mengakibatkan salah faham orang ramai.
"Saya tidak akan melayan mana-mana pertanyaan berdasarkan hasil yang diperoleh dari sumber yang tidak sahih," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas turun meninjau sendiri lokasi kejadian di sebuah pusat beli belah dekat Kota Damansara di sini pada Isnin.
Katanya, pelbagai andaian berdasarkan ramalan dan sebagainya akan menimbulkan salah faham ramai.
"Saya ingatkan kalau ada berdasarkan sumber dipercayai, ramalan itu semua andaian, yang rasmi hanya daripada kami.
"Jangan sesekali sahkan benda yang datangnya dari sumber yang tidak sah, kes sebegini berdasarkan fakta kes dan sekiranya ada perkembangan atau tangkapan misalnya, saya akan maklumkan," katanya.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan bahawa polis sedang mengenal pasti pemilik media sosial dikenali Muhammad Imran Suresh susulan kenyataannya mengenai kejadian simbah asid itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, individu berkenaan mendakwa mempunyai maklumat berkaitan kejadian yang menimpa Faisal.
Sejak Selasa, seorang pemilik laman sosial Instagram itu mendakwa dia telah dipanggil polis bagi membantu siasatan kes melibatkan Faisal.
Pemilik akaun media sosial itu mendakwa mempunyai maklumat dan diminta menutup mulut mendedahkan mengenai kejadian sebenar yang menimpa pemain berkenaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!