NILAI jualan perdagangan borong dan runcit naik 5.2 peratus kepada RM145.7 bilion pada Mac 2024 berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan berkata, ini adalah disebabkan oleh subsektor perdagangan runcit menokok 7.1 peratus atau RM4.2 bilion kepada RM62.8 bilion.
"Perdagangan borong juga berkembang, mencatatkan 4.0 peratus atau RM2.5 bilion kepada RM64.1 bilion diikuti oleh kenderaan bermotor dengan pertumbuhan 3.2 peratus atau RM0.6 bilion untuk berada pada RM18.8 bilion,” katanya.
Perdagangan bulan Mac menyaksikan kenaikan 3.3 peratus berbanding RM141.1 bilion dicatatkan pada Februari 2024, disumbangkan oleh kenaikan 3.0 peratus dalam perdagangan borong diikuti oleh kenderaan (8.3 peratus) dan subsektor runcit (2.1 peratus).
Pada tiga bulan pertama 2024, perdagangan borong dan runcit merekodkan sebanyak RM429.2 bilion, kata kenyataan itu.
Mengenai prestasi subsektor, Mohd Uzir berkata, pertumbuhan 7.1 peratus tahun ke tahun bagi perdagangan runcit disumbangkan oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan, tumbuh 8.4 peratus atau RM1.9 bilion kepada RM24.2 bilion.
"Bagi perbandingan bulanan, jualan subsektor ini meningkat 2.1 peratus, disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan (2.6 peratus), jualan runcit di kedai pengkhususan (1.8 peratus), jualan runcit barangan isi rumah (1.7 peratus),” katanya.
Mengulas lanjut mengenai subsektor perdagangan borong, kenaikan 4.0 peratus tahun ke tahun pada bulan Mac 2024 disokong oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat RM1.0 bilion atau 4.5 peratus kepada RM24.1 bilion.
Ia diikuti oleh jualan borong makanan, minuman dan tembakau (5.4 peratus), jualan borong barangan isi rumah (3.5 peratus), jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (3.2 peratus), jualan borong jentera, peralatan dan bekalan (1.4 peratus), perdagangan borong tanpa pengkhususan (2.5 peratus) dan jualan borong berdasarkan kontrak atau yuran (2.0 peratus).
Dalam satu siri pembentangan slaid, DOSM berkata, indeks volum perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan pertumbuhan 3.7 peratus tahun ke tahun untuk mencapai 152.8 mata pada suku pertama 2024 disebabkan oleh subsektor kenderaan bermotor yang meningkat 4.7 peratus kepada 134.1 mata, diikuti oleh runcit dan borong, masing-masing menambah 3.8 peratus dan 3.5 peratus.
Pertumbuhan positif 4.7 peratus dalam indeks volum kenderaan bermotor disokong oleh jualan alat ganti dan aksesori (12.1 peratus), penyelenggaraan dan pembaikan (8.5 peratus) dan jualan (4.3 peratus). - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!