MOT akan kerjasama dengan HRD Corp tangani kekurangan pemandu profesional

Iklan
Anthony berucap pada Pelancaran MCVE 2024 di MIECC pada Khamis. Foto Bernama

SERI KEMBANGAN - Kementerian Pengangkutan (MOT) merancang untuk bekerjasama dengan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) bagi menangani masalah kekurangan pemandu profesional dalam industri pengangkutan kerana ia boleh memberi impak besar kepada industri.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata bahawa dana telah tersedia untuk menangani masalah kekurangan pemandu dalam industri pengangkutan.

Iklan
Iklan

"Kekurangan ini terutamanya dari segi pemandu-pemandu berhemah dan cukup terlatih untuk memenuhi permintaan pasaran," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ekspo Kenderaan Komersial Malaysia (MCVE) 2024 pada Khamis.

Anthony seterusnya berkata, MOT menyasarkan untuk melatih lebih ramai pemandu untuk meningkatkan tahap profesionalisme, kesedaran tentang tanggungjawab dan boleh memandu dengan selamat.

Iklan

"MOT berminat untuk menaik taraf profesion ini kerana ia dianggap sebagai pekerjaan berkemahiran tinggi. Pemanduan trak secara profesional, yang melibatkan penghantaran barangan kepada orang ramai, akan menyaksikan peningkatan latihan untuk pemandu-pemandu profesional ini.

"Pihak berkepentingan industri juga digalakkan untuk bekerjasama dengan kerajaan, dan MOT sedang mengambil langkah proaktif untuk kerjasama ini. Bersama, kita boleh menyusun mekanisme untuk membiayai latihan pemandu-pemandu ini," tambahnya.

Iklan
Anthony melawat di sekitar reruai pameran pada MCVE 2024 di MIECC pada Khamis. Foto Bernama

Dalam satu kenyataan, MCVE 2024 yang merupakan edisi keenam tahun ini telah bermula hari ini di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines.

Ekspo kenderaan komersial pertama dan terbesar yang pernah diadakan di Malaysia ini memfokuskan kepada penyelesaian pengangkutan masa hadapan dengan mempamerkan kenderaan komersial jenama tempatan dan antarabangsa.

Dengan berlatar belakangkan pendigitalan, elektrifikasi dan penggunaan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), pameran ini telah menyaksikan peningkatan dalam bilangan peserta berbanding tahun 2022.

Ekspo ini dibuka selama tiga hari dari 10 pagi hingga 7 malam dengan kemasukan adalah percuma.

Orang ramai boleh melayari www.mcve.com.my untuk maklumat lanjut. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!