APABILA menerima kehadiran cahaya mata, antara perkara yang difikirkan adalah untuk melaksanakan akikah buat anak yang baru dilahirkan.
Maklum sahajalah, proses melahirkan dan membeli kelengkapan bayi sahaja sudah menelan perbelanjaan agak besar, inikan pula mengadakan majlis akikah.
Jika ada kemampuan, tidak mengapalah. Namun begitu, bagi mereka yang kurang mampu, ada yang sanggup berhutang semata-mata untuk melakukan akikah bagi permata hati mereka.
Bolehkah berhutang untuk melaksanakan akikah anak? Bagaimana status ibadah berkenaan jika dilakukan secara kredit?
Sebelum menjawab persoalan itu, mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengajak kita menyelami maksud akikah dan hukumnya.
Katanya, akikah bermaksud menyembelih haiwan korban sebagai tanda syukur di atas kelahiran anak berserta niat dan syarat-syarat tertentu.
"Hukumnya adalah sunat muakkad bagi mereka yang berkemampuan dan sunat dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi, di samping memberikan nama yang baik serta mencukur rambutnya.
"Menurut Syeikh Zakariyya Al-Ansari, waktu melakukan akikah bermula daripada kelahiran bayi hingga waktu mencapai usia baligh,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web Maktabah Albakri.
Bagaimanapun, konsep berhutang dalam melaksanakan sesuatu ibadah adalah satu perkara yang akan menjadi beban menyusahkan diri sendiri pada masa akan datang.
"Justeru, perbuatan seperti ini tidak digalakkan sama sekali kerana tuntutan beribadah dalam agama Islam bukanlah bertujuan untuk menyusahkan manusia.
"Bahkan, ia dihukum sebagai makruh kerana amalan berhutang dalam beribadah adalah tidak digalakkan,” katanya.
Meskipun akikah dilakukan sah, namun, Zulkifli menasihatkan agar kita melakukan penilaian dan menimbang risiko-risiko mendatang akibat amalan berhutang.
"Sememangnya terbukti bahawa amalan berhutang akan menjejaskan kehidupan seharian kita khususnya masyarakat Islam.
"Ingatlah, ibadah akikah dituntut bagi mereka yang mampu untuk melaksanakannya. Kemampuan itu dipandang dari segala aspek terutama dari sudut ekonomi keluarga.
ANEKDOT
Fakta tentang akikah
- Haiwan akikah sama seperti binatang korban iaitu lembu, kambing, kerbau, kibas, biri-biri dan lain-lain.
- Kebiasaannya amalan di Malaysia, akikah melibatkan haiwan seperti kambing atau lembu.
- Bagi anak lelaki, disunatkan akikah dengan menyembelih dua ekor kambing atau dua bahagian lembu. Namun begitu, memadai dan dibolehkan jika melakukan akikah untuk anak lelaki dengan seekor kambing atau satu bahagian lembu.
- Sementara itu, akikah bagi anak perempuan pula ialah seekor kambing atau satu bahagian lembu.
- Daging akikah sunat disedekahkan selepas ia dimasak.
- Selain itu, disunatkan memasak daging akikah dengan masakan yang manis supaya akhlak anak diakikahkan itu mulia.
***Sumber: Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan