KASIHNYA seorang ibu kepada anak, tiada bandingannya.
Bersempena Hari Ibu yang disambut pada hari Ahad minggu kedua bulan Mei, Sinar Islam Plus mengambil peluang mengupas mengenai ketinggian kedudukan ibu dalam Islam.
Walaupun Hari Ibu disambut sekali setahun, ia tidak bermakna kita hanya perlu berbuat baik kepadanya pada hari tersebut sahaja, bahkan Islam mewajibkan umatnya berbuat baik kepada ibu sepanjang hayat walaupun seorang ibu itu masih belum menerima hidayah ALLAH SWT atau non-Muslim.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Islam, Umum dan Bahasa, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Dr Madihatun Zainuddin menjelaskan, kedudukan ibu dan keistimewaannya dari sudut kaca mata Islam sememangnya tidak dapat dinafikan lagi.
"Ini terbukti melalui sebuah hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah RA, seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya?”
"Maka Rasulullah SAW menjawab:"Ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu.” (Hadis Riwayat Muslim)
"Hadis ini menunjukkan bahawa seorang anak perlu berbuat baik dan mengutamakan ibunya terlebih dahulu berbanding bapa seperti yang disabdakan Nabi Muhammad SAW dengan menyebut perkataan ibu sebanyak tiga kali,” hurainya.
Kewajipan yang disukai ALLAH
Mengulas lanjut mengenai perintah berbuat baik kepada ibu bapa, Madihatun berkata, banyak dalil dari al-Quran menyebut mengenai perkara tersebut seperti dalam ayat ke-36 Surah an-Nisa’ dan ayat ke-83 Surah al-Baqarah.
"Anak yang memuliakan ibu bapanya akan mendapat ganjaran pahala bersamaan dengan pahala jihad di jalan ALLAH SWT.
"Ini kerana pengorbanan menjaga dan merawat ibu bapa dengan baik adalah sangat dituntut dalam Islam.” katanya.
Jelasnya lagi, setiap anak yang menjaga ibu bapanya sudah pasti mendapat keredaan ALLAH SWT dan ia boleh dimiliki dengan melakukan segala perintah-NYA selain meninggalkan segala larangan-NYA.
"Mentaati perintah ALLAH yakni berbakti kepada kedua-dua ibu bapa dan mendahulukan ibu berbanding bapa adalah suatu kewajipan dan setiap kewajipan yang dilaksanakan pula amat disukai ALLAH,” hurainya panjang.
Begitu juga rahmat ALLAH akan turun kepada anak yang mentaati dan mendahulukan ibunya.
"Tambahan pula, seseorang yang sempat bersama dan berbakti kepada ibu bapanya merupakan orang yang sangat bertuah dan beruntung.
"Ini kerana Nabi Muhammad SAW pernah bersabda menyatakan orang yang hina adalah orang yang sempat bersama ibu bapanya tetapi kesempatan itu tidak menjadi sebab untuk dia dimasukkan ke dalam syurga,” hurainya.
Oleh itu katanya, sangat besar nilai seseorang anak yang berbakti kepada ibu bapanya kerana ia merupakan satu perintah ALLAH SWT dan DIA melipatgandakan ganjaran pahala serta memakbulkan segala yang dihajatinya sesuai dengan niatnya yang tulus ikhlas berbakti.
Doa berterusan, sedekah bakti selepas ibu tiada
Menjawab mengenai persoalan bakti selepas kematian ibu, pensyarah itu membawakan satu hadis Rasulullah SAW:
"Apabila meninggal seorang anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan untuknya.” (Hadis Riwayat Muslim)
"Selain itu, sedekah yang dilakukan dengan niat pahala disalurkan kepada mereka juga merupakan salah satu peranan seorang anak,” katanya.
Segera berkhidmat sementara masih ada
Bagaimanapun katanya, jangan pula tunggu ibu atau bapa meninggal terlebih dahulu untuk berbakti kepada mereka kerana peluang untuk berkhidmat masih ada jika mereka masih bernyawa.
"Gunakanlah masa dan kesempatan yang masih ada ini untuk berbakti, mengasihi dan menyayangi ibu seadanya.
Cuba pejamkan mata bayangkan jika kita kehilangan ibu dengan keadaan kita yang tidak sempat berbakti kepadanya, pasti akan datang suatu perasaan sayu dan penyelasan yang tiada tolok bandingnya.
"Cara yang paling sesuai dipraktikkan adalah dengan banyakkan bermuhasabah diri dan melakukan azam yang terbaik buat ibu kita yang masih hidup.
"Ingatlah ibu hanya seorang. Hilangnya dia tiada pengganti yang benar-benar sama seperti mana layaknya seorang ibu kandung yang melahirkan kita," nasihatnya.