PERSATUAN Bolasepak Singapura (FAS) mendoakan agar pemain sayap sensasi Harimau Malaya, Faisal Halim cepat sembuh dan pulih sepenuhnya selepas cedera teruk dipercayai disimbah asid.
FAS berkata, ia berharap untuk melihat pemain bola sepak yang lebih dikenali sebagai Faisal Halim, kembali ke padang.
"FAS bersolidariti dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan mengecam sebarang bentuk keganasan terhadap pemain dan pegawai," kata FAS menerusi hantaran di laman media sosialnya pada Khamis.
Pemain berusia 26 tahun yang lebih mesra disapa 'Mickey' oleh peminatnya mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan susulan insiden di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya pada 5 Mei.
Faisal telah menjalani dua pembedahan dan kini berada dalam fasa rawatan rekonstruktif, yang melibatkan pembaikan struktur dan pemulihan struktur badan pemain itu.
Ini merupakan kejadian malang kedua menimpa pemain negara selepas pemain pinjaman Terengganu FC, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan.
Serangan terhadap pemain bola sepak negara berterusan apabila pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim pula diserang dua lelaki menaiki motosikal yang memecahkan cermin bahagian belakang keretanya menggunakan tukul besi di Johor Bahru, pada Selasa. - Bernama