Penyokong, netizen henti spekulasi isu keselamatan dalam bola sepak - Shahelmey

Iklan
Shahelmey (dua dari kanan) menunjukkan jersi baharu Sabah FC pada Majlis Pelancaran Jersi Sabah FC (Home) Bagi Musim 2024-2025 di sebuah hotel hari ini. Foto Bernama

PENYOKONG bola sepak serta netizen diminta untuk menghentikan sebarang spekulasi mengenai isu keselamatan dalam sukan itu dan mengambil tanggungjawab untuk memastikan bola sepak sentiasa menjadi sukan yang sihat buat rakyat di negara ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Shahelmey Yahya berkata, sehubungan itu, penyokong serta netizen tidak sepatutnya membuat sebarang spekulasi tentang insiden melibatkan tiga pemain bola sepak baru-baru ini dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Menteri III itu berkata, spekulasi, malah lebih buruk provokasi dan penyebaran berita palsu, akan membuatkan isu itu semakin panas serta tidak akan mendatangkan sebarang kebaikan kepada sukan bola sepak tanah air.

"Bagi Sabah FC pula, kita ambil langkah berjaga-jaga dan pastikan pemain kita semuanya selamat, agar mereka sentiasa tenang dan fokus ketika harungi Liga Malaysia nanti,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan jersi tuan rumah Sabah FC di sini hari ini.

Iklan

Pemain sayap skuad Harimau Malaya Faisal Halim dilapor telah diserang individu tidak dikenali dengan asid ketika berada di sebuah pusat membeli-belah di Kota Damansara, Petaling Jaya pada Ahad lalu yang mengakibatkan beliau melecur tahap empat pada badan dan muka.

Insiden malang itu adalah yang kedua menimpa pemain negara selepas pemain pinjaman Terengganu FC Muhammad Akhyar Abdul Rashid cedera di bahagian kepala dan kaki selepas diserang serta disamun dua individu di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu pada 2 Mei lepas.

Iklan

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim pula diserang dua lelaki menaiki motosikal yang memecahkan cermin bahagian belakang keretanya menggunakan tukul besi di Johor Bahru pada Selasa.

Sementara itu, Shahelmey berkata, jersi tuan rumah Sabah untuk musim ini yang dinamakan ‘Tagap’ dalam bahasa Sabah atau dalam bahasa Melayunya ‘Tegap’ mengekalkan warga tradisi merah putih dan berharap jersi itu akan memberikan semangat untuk skuad Badak mengharungi musim ini.

Bagaimanapun, beliau meminta kepada semua penyokong Sabah supaya membeli jersi yang asli dan tidak membeli jersi atau barangan cetak rompak kerana perbuatan itu akan mendatangkan kerugian kewangan yang amat besar buat pasukan itu.

"Dengan membeli barangan asli, peminat bukan sahaja dapat barangan kualiti tinggi tetapi menyumbang kepada pasukan Sabah.

"Ada kedengaran beberapa kelab bola sepak di negara ini berdepan dengan situasi kewangan, jadi dengan membeli barangan asli, penyokong dapat bantu pasukan kesayangan,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!