Sarawak buru status juara Sukma 2024

Iklan
Abang Johari melepaskan atlet Sarawak selepas merasmikan 100 Hari Menjelang Sukma XXI pada Khamis.

PREMIER Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menaruh harapan tinggi kepada atlet Sarawak untuk berusaha mencapai prestasi cemerlang bagi meraih kejayaan pada temasya Sukan Malaysia ke-21 (Sukma XXI) Sarawak 2024 pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Beliau berkata, 9,927 atlet terpilih membawa cabaran Sarawak pada temasya dwitahunan itu harus menetapkan matlamat untuk mencapai kejayaan supaya bendera 'Ibu Pertiwi' megah berkibar tinggi seperti tiang bendera di Dataran Ibu Pertiwi.

Iklan
Iklan

"Kalau Sarawak sudah menjadi ekonomi yang ke depan dalam ekonomi hijau, pastikan juga sukan kita ke depan. Buat persediaan sebaiknya beri fokus," katanya pada majlis detik 100 hari menjelang Sukma XXI pada Khamis.

Beliau berkata, pesanan sama turut dilontarkan kepada 2,692 pegawai terlibat dalam penyediaan dan pengurusan pasukan.

Iklan

Katanya, acara-acara sukan yang dipertandingkan pada Sukma XXI akan disiarkan secara langsung di saluran stesen TVS.

Hadir sama, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah serta Chef de Mission Sarawak pada Sukma XXI, Datuk Gerald Rentap Jabu.

Iklan
Abang Johari bergambar dengan para atlet Sarawak selepas merasmikan 100 Hari Menjelang Sukma XXI pada Khamis.

Sementara itu, Abdul Karim berkata, selaku penganjur Sukma XXI, Sarawak menetapkan sasaran untuk muncul juara keseluruhan pada edisi kali ini selepas kali terakhir mengecapinya pada tahun 1994.

"Tempoh genap 30 tahun terlalu lama dan kita harus mengambil peluang sebagai tuan rumah kali ini untuk kembali bergelar juara keseluruhan," katanya.

Menurutnya, Sukma XXI bakal menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara - 236 acara lelaki, 227 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita.

"Penganjuran Sukma XXI Sarawak 2024 kali ini akan menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai termasuk kontinjen jemputan Brunei Darussalam," katanya.

Katanya temasya kali ini akan diadakan di sembilan bahagian di Sarawak - Kuching yang akan menganjurkan 25 jenis sukan, Samarahan (2), Serian (1), Sri Aman (1), Betong (1), Sibu (3), Mukah (3), Bintulu (3) dan Miri (6).

Sarawak menjadi tuan rumah temasya Sukma 2024 buat kali ketiga selepas edisi 1990 dan 2016.