BEIJING - Keputusan ujian kesihatan sebelum berkahwin membawa khabar duka buat seorang individu di China.
Li Yuan dari wilayah Hubei yang menjalani kehidupan sebagai wanita selama 27 tahun terkejut selepas mendapati terdapat testikel pada abdomennya yang bermaksud secara biologi dia adalah seorang lelaki.
Pemeriksaan dilakukan veteran sakit puan, Duan Jie yang mengenal pasti penyakit jarang berlaku digelar congenital adrenal hyperplasia (CAH) yang dikesan pada 1 dalam 50,000 bayi baru lahir.
"Laporan doktor itu mengesahkan Yuan mempunyai kromosom seks lelaki, namun secara sosial dia kelihatan seperti perempuan," ujarnya sambil menjelaskan gen dibawa kedua-dua ibu bapanya turut menjadi punca gangguan resesif tersebut.
Dia kemudiannya disarankan untuk menjalani pembedahan segera untuk membuang 'testikel tersembunyi' tersebut yang menimbulkan risiko barah yang tinggi.
Pada awal bulan lalu, Yuan dilaporkan berjaya melakukan prosedur berbahaya tersebut.
Dia pernah didiagnos mengalami tahap hormon tidak normal dan kegagalan ovari berpotensi ketika berusia 18 tahun.
Ketika itu, doktor juga menyarankan Yuan melakukan ujian susulan kromosom, namun dia bersama keluarganya tidak mengambil serius perkara tersebut.
Difahamkan, Yuan tidak pernah mengalami kedatangan haid dan perkembangan payu daranya sejak akil baligh juga tidak seperti wanita normal. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!