Thailand kesan koronavirus kedua daripada pelancong China

Iklan
Sejak laporan awal kes seumpama di Wuhan pada 31 Disember, misteri coronavirus telah menjejaskan sekurang-kurangnya 41 orang di bandar berkenaan. - Foto AFP

BANGKOK - Thailand melaporkan kes kedua koronavirus juga melibatkan seorang rakyat China.

Mangsa berkenaan, seorang pelancong wanita berusia 74 tahun dikesan mengalami demam menerusi alat pancaran haba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada 13 Januari, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Awam hari ini.

Iklan
Iklan

Setiausaha tetapnya, Dr Sukhum Kanchanapimai berkata, wanita berkenaan dari Wuhan di Wilayah Hubei, China, dimasukkan ke hospital di Bahagian Kawalan Penyakit.

"Keadaan wanita itu semakin baik. Kami mengawasi sepenuhnya beliau,” katanya.

Iklan

Pada 8 Januari, seorang wanita berusia 61 tahun juga dari Wuhan, didiagnosis mengalami jangkitan koronavirus.

Keadaannya semakin baik dan beliau dijangka terbang pulang ke negara asalnya dalam dua atau tiga hari lagi.

Iklan

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kesihatan, Anutin Charnvirakul berkata, penyakit koronavirus tidak merebak di Thailand.

"Keadaan di Thailand adalah terkawal,” katanya dalam satu kenyataan.

Sejak laporan awal kes seumpama di Wuhan pada 31 Disember, misteri koronavirus telah menjejaskan sekurang-kurangnya 41 orang di bandar berkenaan.

Virus baharu itu telah membunuh dua orang di China.

Penyakit itu juga telah dikesan berada di Jepun.

Kementerian Kesihatan Awam Thailand telah meningkatkan pengawasan di empat lapangan terbangnya iaitu Suvarnabhumi, Don Muang, Chiang Mai dan Phuket serta penerbangan sewa terus dari Wuhan.

Sejak 13 Januari, seramai 13,624 penumpang dan anak pesawat telah menjalani imbasan bagi penyakit itu.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pertambahan kes koronavirus di negara lain adalah berkemungkinan dengan mengambil kira kepada corak pergerakan global.

Dalam satu kenyataan, WHO menggalakkan semua negara agar terus bersedia dengan langkah-langkah persediaan.

Pada 10 Januari, WHO mengeluarkan maklumat bagaimana cara untuk mengawasi kes, rawatan kepada pesakit, menghalang jangkitan menerusi peralatan penjagaan kesihatan, mengekalkan bekalan yang perlu dan berkomunikasi dengan orang ramai mengenai koronavirus.

Maklumat itu termasuk nasihat mengenai bagaimana untuk mengekalkan kebersihan tangan dan pernafasan serta makanan yang selamat. - Bernama