SHAH ALAM - Penganalisis Ekonomi Bebas, Dr Baayah Baba menyambut baik keputusan kerajaan yang memutuskan untuk tidak meneruskan hasrat menjual konsesi lebuh raya PLUS Malaysia Berhad (PLUS).
Menurutnya, keputusan kerajaan dalam melaksanakan pengurangan 18 peratus kadar ke atas tol bagi semua pengguna lebuh raya bermula seawal 1 Februari 2020 itu juga dilihat tepat pada masanya.
"Penurunan kadar tol juga mampu membantu meringankan beban rakyat dengan senario ekonomi negara ketika ini.
"Malah dengan tiada bayaran konsesi selama 38 tahun itu juga dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan lebih RM40 bilion dan wang itu boleh digunakan bagi menambah baik kehidupan rakyat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Dr Baayah berkata, penjimatan yang dilakukan itu juga membolehkan kerajaan menyalurkan peruntukan kepada golongan yang memerlukan seperti kumpulan B40.
"Selain itu juga kerajaan boleh mempertingkatkan lagi prasarana untuk rakyat dengan membina lebih banyak lagi rumah mampu milik demi kesejahteraan rakyat pada masa akan datang,” katanya.
Terdahulu kerajaan mengumumkan akan melaksanakan pengurangan 18 peratus kadar tol bagi pengguna lebuh raya milik PLUS bermula seawal 1 Februari 2020.
Sejajar dengan keputusan itu, tempoh konsesi untuk semua lebuhraya PLUS akan dilanjutkan selama 20 tahun dari 2038 ke 2058 bagi memastikan syarikat lebuhraya itu menjalankan kegiatan penyelenggaraan dan operasi lebuhraya mereka tanpa bergantung kepada kerajaan.
Keputusan itu juga akan memastikan tiada kenaikan kadar tol sehingga tempoh konsesi tamat selama 38 tahun sekali gus membantu kerajaan melakukan penjimatan sebanyak RM42 bilion.