KOTA KINABALU - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai seorang kuman atau parasit.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, ia susulan satu video yang diterimanya melibatkan seorang penceramah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
"Saya nak menyentuh tentang Kuala Kubu Baharu, semalam saya melihat satu video oleh seorang penceramah yang menjadi kuman, parasit di mana dia mengatakan bahawa saya menawarkan dia menjadi Setiausaha Agung UMNO kalau dia menyokong saya untuk menjadi Presiden UMNO 2018.
"Saya ingin memberitahu orang itu bahawa tidak ada tawaran untuk dia menjadi Setiausaha Agung apatah lagi menjunjung al-Quran," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) di sini pada Jumaat.
Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menasihatkan supaya Hamzah bertaubat daripada melakukan pembohongan pada setiap kali pilihan raya.
"Saya nasihatkan dia bertaubat cepat-cepat, jangan tiap kali ada PRK atau Pilihan Raya Negeri (PRN) membohong, menipu, bawa isu ini. Saya kenal dia dari zaman muda, kuat membohong. Malangnya dia jadi ketua pembangkang di Parlimen di Malaysia, malangnya.
"Saya harap dia tidak membohong apabila berhujah di Parlimen kerana pengalaman saya dari zaman muda sampai dah tua bercucu sudah pun tak habis-habis membohong. Cukuplah pilihan raya di Kuala Kubu Baharu, Insya-ALLAH ianya memihak kepada calon Kerajaan Madani," katanya.
Dalam satu video ceramah Hamzah di PRK Kuala Kubu Baharu memaklumkan dia keluar daripada UMNO ketika ada pemilihan Presiden dan mendakwa Ahmad Zahid meminta bantuan menyokongnya sebagai presiden.
Hamzah bagaimanapun menolah dan mendakwa Ahmad Zahid berjanji dengan bersaksikan al-Quran dan menawarkannya menjadi Setiausaha Agung UMNO.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!