[VIDEO] Kerajaan sedia rawat penerima vaksin alami kesan sampingan

Iklan

BALING - Kerajaan akan bertanggungjawab merawat penerima vaksin Covid-19 yang terbukti mengalami kesan sampingan termasuk jenis AstraZeneca selepas menerima suntikan vaksin berkenaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan juga mempunyai kaedah merawat kesan sampingan tersebut kerana mempunyai semua data berkaitan kesan sampingan selepas imunisasi (AEFI).

Iklan
Iklan

"AstraZeneca telah memanggil vaksin mereka dan ini adalah (di peringkat) global, apa yang kita mahu pastikan adalah kalau ada sesiapa yang ada terbukti ‘evidence base’ yang terkait dengan vaksin AstraZeneca itu, kita memang punya cara untuk pastikan mereka diberikan bantuan.

"Memang ada kaedah kita untuk bertanggungjawab untuk merawat mereka, dan itu jaminan yang diberikan kerajaan, kita ada data-datanya dengan diistilah sebagai AEFI,” katanya pada sidang akhbar pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bangunan Tambahan Hospital Baling, di sini dan hadir sama Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Badioezaman Ab Khalik dan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mansor Zakaria.

Iklan
Dr Dzulkefly (kiri) hadir pada Majlis Penyerahan Bangunan Tambahan Hospital Baling pada Jumaat.

"Jadi kita ada data itu kalau benar dapat buktikan, kita akan berikan. Pastikan susulan rawatan termasuk kita berikan segala bantuan. Kerajaan akan bertanggungjawab,” ujar beliau lagi.

Menurutnya, kerajaan turut bertanggungjawab terhadap penerima vaksin daripada firma farmaseutikal lain seperti Pfizer-BioNTech dan Sinovac jika turut terbukti menghadapi kesan sampingan.

Tambah Dr Dzulkefly, isu berkaitan vaksin Covid-19 itu tidak akan memberi kesan terhadap program vaksin lain termasuk Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP).

Menurutnya, biarpun terdapat segelintir pihak yang sensitif dengan isu vaksin, namun NIP yang menjadi amalan di negara ini berjaya meningkatkan imunisasi kanak-kanak termasuk mencegah jangkitan penyakit serius.

"Vaksin Covid-19 itu satu hal lain, kita juga ada program-program vaksinasi seperti HPV untuk menamatkan kanser pangkal rahim, kita juga ada NIP, ibu bapa yang punyai anak berasa terbantu kerana untuk mendapatkan vaksin ini mahal.

"Tidak ada pertikaian dalam hal itu, saya yakin rakyat tahu, punya pendidikan, punya pencerahan dan punya pengetahuan dan kita akan terus memberikan pendidikan kepada rakyat,” kata beliau.

Pada Rabu, firma farmaseutikal global Britain-Sweden, AstraZeneca dilaporkan menarik balik vaksin Covid-19 di seluruh dunia.

Menurut laporan media, syarikat berkenaan mengakui dalam dokumen mahkamah bahawa vaksin itu menyebabkan kesan sampingan seperti pembekuan darah dan kiraan platelet darah rendah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!