'Sekali lagi bah, rumah akan lenyap'

Iklan
Din dan isteri menunjukkan rumah yang dihuni roboh, malah ada sebahagiannya telah dihanyutkan arus pada bah Disember lalu di Kampung Tersang di Rantau Panjang.

RANTAU PANJANG - Kesan bah pada Disember lalu menyebabkan rumah yang dihuni sebuah keluarga di Kampung Tersang di sini roboh, malah ada sebahagiannya telah dihanyutkan arus.

Kurang beberapa bulan lagi, musim tengkujuh yang akan kembali melanda kampung itu membuatkan Din Abd Rahman, 50, bersama tujuh lagi ahli keluarganya 'takut' memikirkan nasib yang akan dihadapi mereka nanti.

Iklan
Iklan

Mana tidaknya, berkemungkinan besar rumah tersebut akan lenyap jika bah melanda kampung berkenaan.

"Jika diikutkan situasi tahun lepas, bulan Oktober kawasan di sini sudah dilanda banjir.

Iklan

"Kami sukar tidur malam apabila memikirkan andaian orang ramai berdasarkan pengalaman lepas mendakwa tahun ini akan berlaku banjir besar kerana kemarau teruk yang melanda sekarang sepertimana pernah berlaku 10 tahun lalu pada 2014," katanya yang merupakan seorang penoreh getah kepada pemberita ketika ditemui pada Jumaat.

Din menunjukkan ruangan yang runtuh akibat banjir melibatkan dapur serta dua buah bilik tidur.

Din memberitahu, lebih membimbangkan lagi apabila sejak tebatan banjir dibina suasana bah di sini sukar diramal.

Iklan

Ujarnya, tahun lepas mereka perlu menghadapi empat kali banjir dan paling memburukkan lagi keadaan airnya sukar surut.

Menurut dia, beberapa pihak ada berjanji untuk membina semula rumah mereka yang roboh namun sehingga sekarang sepi begitu sahaja.

"Saya, isteri serta anak-anak dan cucu yang tinggal di sini berharap sangat, baik pulih rumah ini dapat disegerakan untuk elak kejadian lebih buruk.

"Sekarang ini kami terpaksa berhimpit dalam ruangan sempit serta turut menumpang teduh di rumah rakit yang dibina sebelumnya," katanya.

Din dan ahli keluarga turut menumpang teduh di rumah rakit yang dibina sebelumnya

Din memberitahu, bukan mereka tidak cuba untuk membaiki kerosakan yang berlalu namun duit yang ada sekadar cukup untuk makan dan minum.

Menurut dia, rumah yang berusia 35 tahun itu merupakan tempat mereka berteduh sejak dahulu lagi.

Katanya, ruangan yang runtuh akibat banjir melibatkan dapur serta dua buah bilik tidur.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB 7056209333 Din Abd Rahman.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!