KOTA KINABALU - Seorang lelaki warga Korea Selatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, pada Jumaat, atas dakwaan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen untuk urusan kerja pada September tahun lalu.
Tertuduh, Lee Chang Whan, 33, membuat pengakuan tidak bersalah itu di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Chang Whan dituduh menggunakan dokumen Perjanjian Subkontrak Pindaan palsu bagi kerja pemasangan cerucuk di antara Hyundai Engineering Sdn Bhd dan Budiwan Sdn Bhd.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah syarikat di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di Sepanggar pada 22 September 2023.
Hukuman bagi kesalahan itu ialah penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 Jun depan untuk pengurusan kes, manakala tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan dua penjamin tempatan.
Selain itu, mahkamah turut membenarkan pasport tertuduh dikembalikan bagi membolehkannya untuk memperbaharui permit kerja.
Bagaimanapun, tertuduh diperintah untuk menyerahkan semula pasportnya kepada mahkamah setelah pembaharuan permit kerjanya selesai.
Sebelum itu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Suzie @ Stephanie Kupit.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!