LUMUT - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi Ops Tiris 3.0 di sebuah premis di Kampung Acheh di sini pada Khamis.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan di lokasi kejadian dibuat kira-kira jam 12.50 tengah hari oleh sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Manjung.
Menurutnya, operasi tersebut dilaksanakan susulan maklumat risikan yang dijalankan oleh pasukan perisikan KPDN Perak selama seminggu di sekitar Kampung Acheh di sini.
"Modus operandi sindiket ini adalah dengan membuat pembelian minyak diesel secara berulang kali melalui tangki asal lori disyaki milik premis tersebut di stesen minyak berhampiran dan kemudian akan memindahkannya ke tangki yang disediakan untuk kegunaan industri.
"Siasatan lanjut juga mendapati premis ini mempunyai permit untuk meyimpan minyak diesel dan hanya layak membeli minyak diesel tanpa subsidi daripada pembekal yang berlesen, namun cuba mengaut keuntungan dengan mengambil minyak bersubsidi di stesen minyak secara berulang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kamalludin berkata, hasil pemeriksaan juga telah menemui anggaran sebanyak 13,549 liter cecair yang disyaki minyak diesel di dalam tiga tangki bekas perantara pukal (IBC) dan satu tangki skid yang berada di dalam kawasan premis tersebut.
Katanya, susulan itu, cecair yang disyaki minyak diesel serta beberapa peralatan lain seperti mesin pam, wayar hos dan lain-lain telah disita untuk tindakan selanjutnya.
Beliau berkata, nilai sitaan keseluruhan barangan termasuk minyak diesel dianggarkan berjumlah RM41,913.08 manakala pemilik premis berusia 30-an juga turut ditahan untuk siasatan lanjut.
"Stesen minyak yang disyaki terlibat juga akan disiasat di bawah peruntukan sedia ada, termasuklah syor pembatalan Lesen CSA (Barang-Barang Kawalan Berjadual) minyak diesel jika didapati bersalah terlibat dalam penyelewengan ini.
"Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya.
Sementara itu, Kamalludin memberikan amaran keras dan menegaskan bahawa KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyalahgunaan barang-barang kawalan berkenaan.
Katanya, KPDN juga akan memastikan tindakan lebih tegas diambil terhadap pelaku termasuklah melaksanakan pendakwaan di mahkamah.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!