BILANGAN tenaga buruh bagi suku tahun pertama 2024 berada dalam trend menaik dengan peningkatan sebanyak 0.3 peratus, merekodkan 16.96 juta orang, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) meningkat 0.1 mata peratus kepada 70.2 peratus berbanding 70.1 peratus pada suku keempat 2023, pada masa sama bilangan penduduk bekerja naik sebanyak 0.3 peratus mencatatkan 16.40 juta orang pada suku tahun tersebut, berbanding 16.35 juta orang pada ST4 2023.
"Kadar pengangguran pada ST1 2024 tidak berubah pada 3.3 peratus seperti bulan sebelumnya,” kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Beliau berkata pada Mac, bilangan penganggur berubah sedikit kepada 566,600 orang berbanding 567,000 pada Februari.
Menurut Mohd Uzir, bilangan penduduk bekerja terus menunjukkan trend menaik, mencatatkan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 16.53 juta orang, berbanding 16.51 juta orang direkodkan pada Februari 2024.
Berdasarkan kadar pengangguran dan KPTB mengikut negeri, Pulau Pinang merekodkan kadar pengangguran terendah berbanding semua negeri iaitu pada 1.8 peratus pada suku pertama tahun ini, diikuti Kedah (1.9 peratus), Perlis dan Selangor (2.0 peratus) dan Putrajaya (2.1 peratus).
Sebaliknya, 10 negeri mempamerkan peningkatan dalam KPTB menunjukkan lebih banyak penyertaan buruh dalam pasaran dengan Selangor merekodkan KPTB tertinggi iaitu pada 76.3 peratus diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (74.1 peratus), Pulau Pinang (73.4 peratus) Putrajaya (72.9 peratus) dan Johor (71.3 peratus).
Dari segi sektor ekonomi, sektor perkhidmatan terus merekodkan trend positif dalam bilangan penduduk bekerja, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit, perkhidmatan makanan dan minuman, dan aktiviti maklumat dan komunikasi.
"Bilangan penduduk bekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian dan pertanian juga berada pada trend meningkat pada Mac 2024,” katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!