Nur Afeeya derita kanser leukemia berisiko tinggi

Iklan
Nur Afeeya disahkan menghidap kanser leukemia berisiko tinggi semasa berusia empat bulan dan ketika ini menjalani rawatan kemoterapi kitaran ketiga.

SHAH ALAM - Pasangan suami isteri tidak menyangka demam berpanjangan anaknya, Nur Afeeya Humaira Muhammad Amadi yang berusia lapan bulan rupanya petanda kanak-kanak itu menghidap kanser leukemia.

Ibunya, Dina Shamila Othman, 24, berkata, dia perasan perubahan pada anak tunggal mereka selepas mengalami pucat pada muka, tidak membuang air kecil dan berada dalam keadaan lemah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Nur Afeeya dilahirkan normal tanpa sebarang komplikasi, namun ketika usianya empat bulan tahap kesihatannya mula merosot.

"Kami mulanya menyangka Nur Afeeya alami demam panas dan hanya membawanya ke klinik swasta.

Iklan

"Namun, demamnya tidak surut dan dia menunjukkan tanda-tanda lemah sebelum kami mengambil keputusan membawanya ke Hospital Tangkak, Johor," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Dina Shamila diberitahu, anaknya itu kemudiannya dirujuk ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, sebelum dipindahkan untuk menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bharu.

Iklan

"Anak saya disahkan menghidap kanser leukemia berisiko tinggi dan dia kini menjalani rawatan kemoterapi kitaran ketiga," jelasnya.

Dina Shamila yang menetap di Tangkak, Johor memberitahu, Nur Afeeya ketika ini terpaksa menerima rawatan lanjut di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada Isnin depan.

"Doktor memberitahu, selepas prosedur kimoterapi kitaran ketiga, Nur Afeeya disyorkan untuk menjalani imunoterapi.

"Namun, saya tidak dapat pasti sama ada Nur Afeeya perlu jalani rawatan itu atau pun tidak sehingga dia dibawa ke PPUM," jelasnya.

Katanya, rawatan imunoterapi memerlukan perbelanjaan sebanyak RM75, 000 tidak termasuk dana RM125,000 bagi rawatan Transplantasi Sumsum Tulang (BMT).

Katanya, dia tidak berkemampuan untuk menyediakan kos perbelanjaan itu memandangkan tidak bekerja selain bergantung harap kepada pendapatan suami sebagai penjual makanan ternakan lembu dan kambing.

"Setakat ini, kami hanya dapat mengumpul RM16,000 dan jumlah rawatan ini terlalu tinggi selain kos berulang-alik kami ke hospital.

"Saya berharap ada mana-mana pihak termasuk syarikat korporat sudi membantu kami demi memudahkan urusan kami sekeluarga," tambahnya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 152189355246 atas nama Dina Shamila.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!