KOTA BHARU - Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Che Latiff, Kuala Besar, Wan Roslan Wan Hassan, 60, tidak menyangka hari persaraannya dikejutkan dengan pertemuan bersama ibunya, Mek Thon Mamat, 87, pada Khamis.
Wan Roslan berkata, kejutan itu dirancang oleh anaknya, Wan Anis Amira, 30, dan suami Muhammad Farid Mat Nawi, 30, yang sanggup membawa ibunya dari Kuala Lumpur.
"Saya tidak menyangka hari persaraan diberi kejutan sebegitu rupa oleh anak dan menantu. Ini merupakan kenangan paling bermakna dalam hidup dan sepanjang kerjaya saya," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, kali terakhir bertemu ibu yang dipanggil mek itu seminggu sebelum Ramadan tahun ini ketika ada urusan di Kuala Lumpur.
"Saya sempat singgah di rumah kakak di Kuala Lumpur kira-kira dua jam untuk melepaskan rindu tetapi tidak sempat mendengar lebih banyak cerita mek," katanya.
Berkongsi cerita pada hari persaraannya, ibunya yang duduk di atas kerusi roda tidak dapat mengingatinya kerana mengalami alzheimer.
"Mek tanya, ni siapa...saya tidak berkecil hati kerana dalam keadaannya sekarang ada masanya mek tidak dapat mengingati nama anak-anak dan situasi yang berlaku," katanya.
Bagaimanapun, kata Wan Roslan beberapa minit kemudian ibunya boleh menyebut nama dan mengingatinya semula.
Tambah beliau lagi, selepas bapanya, Wan Hassan Wan Mamat meninggal dunia pada 2020, kakak dan adiknya membawa ibunya menetap di Kuala Lumpur.
"Sebelum ini mek tinggal dengan saya di Kampung Bunut Payong dan kerana saya serta isteri bekerja, mek mengikut mereka ke Kuala Lumpur," katanya.
Majlis persaraan dan sambutan hari lahir Wan Roslan yang dikejutkan dengan kedatangan ibunya itu tular di media sosial serta mengundang sebak netizen.
Sementara itu, Muhammad Farid berkata, hasrat untuk membuat kejutan itu sudah lama tetapi sangat sesuai sempena hari persaraan dan hari lahir bapa mertuanya itu.
Menurut Muhammad Farid, perkara terbaik ialah membawa neneknya yang mesra dipanggil tok mek bertemu bapa mertuanya kerana tahu hubungan rapat kedua-dua mereka.
"Sudah tiga bulan saya berbincang bersama isteri selepas dia memberi idea untuk membawa tok mek pulang bertemu abah," katanya.
Tambahnya, selepas itu mereka terus menghubungi pihak sekolah untuk meminta kebenaran dan idea mendapat kerjasama yang baik.
"Semua ahli keluarga terdekat turut bersepakat sehingga kami berjaya membuat kejutan istimewa untuk abah," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!