SHAH ALAM - Cadangan menjadikan tarikh 13 Mei 2020 sebagai Hari Merayakan #MalaysiaHarmoni wajar dipertimbangkan, namun perkara lebih penting adalah untuk memastikan kempen tersebut digerakkan secara berterusan.
Bekas penasihat sosio budaya kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, beliau melihat pada ketika ini, fokus seharusnya perlu diberikan kepada Kempen Uninstall Kebencian: Reboot Malaysia Harmoni itu terlebih dahulu.
"Jadi kalau boleh, gerakkan kempen ini berterusan sebagai piagam kehidupan seluruh rakyat berbilang kaum di negara ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Menurutnya, lebih menarik jika akhbar-akhbar Cina, Tamil serta berbahasa vernakular lain turut membuat kempen sama seperti yang digerakkan Sinar Harian.
Terdahulu, Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub menyeru rakyat Malaysia supaya menanamkan jiwa Rukun Negara melalui kempen terbabit, selain turut mencadangkan agar tarikh 13 Mei 2020 dijadikan sebagai Hari Merayakan #MalaysiaHarmoni.
Sementara itu, Rais yang juga Pengerusi Yayasan Budi berkata, kempen tersebut akan menjadi lebih berkesan jika turut diwujudkan program-program mendidik bersama pengisian yang bersesuaian.
ARTIKEL BERKAITAN: Erat hubungan semakin rapuh
Elak syak wasangka antara kaum, kata penganalisis
Menurutnya, setiap kempen perlu ada program dan pengisiannya boleh dikembangluaskan kepada sekolah-sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan yang paling mustahak dalam kalangan parti politik yang tidak menjalankan peranan.
"Perkara ini jelas kerana pada hari ini kita boleh melihat siapa yang bercakap benci di Parlimen, sudah tentu Ahli Parlimen. Menuduh dan memperkecil sahsiah orang juga dilakukan di Parlimen.
"Ia menunjukkan parti politik langsung tiada program pendidikan di negara ini. Oleh itu, program menerusi kempen ini amat penting untuk mendidik kalangan ahli politik kita, selain program di sekolah pula untuk memastikan para guru mengajukan kehidupan yang berasaskan harmoni serta tidak cenderung membelasah mana-mana pihak dengan kata-kata kesat atau kebencian," katanya.
Dalam pada itu, Rais turut menyarankan agar nama kempen Uninstall Kebencian: Reboot Malaysia Harmoni ini mengguna pakai nama bahasa ibunda atau bahasa kebangsaan sepenuhnya.
"Mungkin boleh diperbaiki nama kempen seperti 'memusnahkan kebencian, mendakap harmoni' umpamanya atau yang bersesuaian. Itu pandangan saya kerana kita mahu melangkah ke depan, lebih baik menggunakan bahasa yang tepat dalam bahasa ibunda," katanya.