Bekas guru pilih jual sandwic demi keluarga

Iklan
Yasmien Aiezzam tidak menyangka menjadi peniaga sandwich berjaya selepas membuat keputusan berhenti kerja sebagai guru.

KOTA BHARU - Seorang peniaga sandwic tidak menyangka keputusannya meletak jawatan sebagai guru memberi peluang yang lebih baik dalam bidang perniagaan.

Bekas guru sejarah dan Geografi di sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang, Yasmien Aiezzam Yasin, 35, pada mulanya membuat keputusan berkenaan kerana tidak sanggup berjauhan dengan suami dan tiga anak yang masih kecil.

Iklan
Iklan

Menurut Yasmien Aiezzam atau lebih mesra dengan panggilan Mien, jiwanya tidak tenang dan sentiasa menangis mengenangkan anak-anak menyebabkannya tidak dapat menumpukan perhatian ketika mengajar di dalam kelas.

Yasmien Aiezzam menunjukkan dua jenis resipi sandwich yang dicipta untuk diet

"Setiap hari saya menangis teringatkan anak-anak yang masih kecil dan setiap tahun juga mengisi borang permohonan berpindah mengajar di Kelantan tetapi gagal," katanya.

Iklan

Mien memberitahu, ketika itu juga dia hamil anak keempat dan hatinya tidak kuat untuk hidup sendirian tanpa suami dan keluarga.

"Terlalu sukar untuk meneruskan kerja sehingga saya kemurungan dan berfikir melakukan perkara yang tidak sepatutnya.

Iklan

"Kira-kira empat tahun di Green Lane, Pulau Pinang saya tidak berfikir panjang lagi dan terus meletak jawatan pada tahun 2016," katanya.

Berkongsi kejayaannya memulakan perniagaan sehingga sandwicnya dikenali di Kelantan, Mien berkata, selepas melahirkan anak kelima pada Februari 2022, berat badannya meningkat.

Jelasnya, sebelum ini dia tidak memikirkan pernah memikirkan gaya hidup dan pemakanan sihat menyebabkan berat badan mencecah lebih 80 kilogram (kg).

"Saya lebih suka hidangan manis. Selepas mengalami ketidakselesaan akibat kegemukan, saya berusaha menurunkan berat badan.

"Jadi saya fikir makanan yang sesuai dan boleh dimakan setiap hari ialah sandwic dengan mempelbagaikan jenis inti sesuai untuk diet," katanya.

Selepas itu Mien turut berkongsi makanan sihatnya di media sosial dan tidak menyangka mendapat sambutan daripada rakan-rakan terdekat sebelum mula menerima tempahan.

Yasmien Aiezzam menyediakan sandwich untuk jualan.

Kini, selepas enam bulan memulakan perniagaan secara serius, sandwic dari resipi sendiri itu mula mendapat sambutan meluas dan tular di media sosial.

Menurut Mien, cabaran berniaga makanan sihat ialah perlu bangun seawal jam 3 pagi bagi menyiapkan bahan yang diperlukan supaya kekal segar sehingga waktu sarapan.

Kongsinya lagi, ada juga pelanggan yang menempah sandwic untuk minum petang dan mereka tidak berkira mengenai harga kerana tahu kualiti serta khasiatnya.

Mien mengakui teruja kerana usahanya berbaloi selepas mendapat sambutan daripada penggemar sandwic terutama pelanggan yang tidak menggemari gula atau garam tambahan dalam makanan.

Sehingga kini Mien menyediakan sandwic dengan 20 inti menggunakan bahan segar kerana dimasak sendiri di rumah.

"Buat masa ini saya dapat menjual antara 130 hingga 200 sandwic dalam sehari dan antara yang popular ialah Korean chicken, chicken crispy serta Korean beef," katanya.

Mien kini boleh berbangga kerana keputusan sukarnya dibuktikan dengan kejayaannya sebagai peniaga sandwic malah turut diakui suaminya, Mohd Faiz Husaini, 37.

"Alhamdulillah, pengorbanan saya berbaloi bukan sahaja untuk anak-anak malah kepuasan diri sendiri kerana dapat mengurus anak-anak dan berjaya dalam perniagaan," katanya.

Mien turut menyimpan impian menjadi guru kepada mereka yang berminat membuat dan berniaga makanan sihat itu dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!