SELEPAS ketibaan obor Olimpik di Pelabuhan Vieux sehari sebelumnya, larian obor itu berakhir di perhentian pertamanya di tanah Perancis, Marseille pada Khamis yang disertai wakil daripada kelab bola sepak Olympique de Marseille.
Basile Boli, bekas pemain antarabangsa Perancis yang menjaringkan gol kemenangan dalam final Liga Juara-Juara 1993 untuk Marseille, menjadi pembawa obor pertama pada hari itu, memulakan larian dari Basilika Notre-Dame de la Garde yang ikonik.
"Ia membuatkan jantung berdebar dan sangat menakjubkan,” kata Boli."Ini api nyalaan Olimpik, simbol sukan, hidup bersama, dan segala yang kita harapkan di dunia.”
Boli kemudian menyerahkan obor itu kepada Colette Cataldo, penyokong Olympique de Marseille berusia 83 tahun, dalam saat yang simbolik dan penuh emosi.
Kira-kira 200 pembawa obor menyertai larian di bandar pelabuhan itu, termasuk bekas bintang bola keranjang NBA Perancis, Tony Parker.
"Permulaan adalah penting dalam sukan,” kata Presiden Paris 2024 Tony Estanguet selepas permulaan larian."Kami bermula dengan baik... sekarang ia bermula.
Jom kita mulakan untuk satu sambutan hebat,” katanya lagi.
Kemuncak larian berlangsung di Stade Velodrome, stadium pasukan Olympique de Marseille, apabila Jean-Pierre Papin, pemenang Ballon d'Or 1991, memulakan larian di venue terkenal ini.
Bekas pemain bola sepak antarabangsa Cote d'Ivoire Didier Drogba, legenda Marseille, adalah pembawa obor terakhir pada hari itu dan menyalakan kawah di luar stadium sebagai penutup larian hari itu, lapor Xinhua.
"Ia sangat hebat memberikan rasa bangga kepada rakyat Perancis dan menunjukkan kepada seluruh dunia apa yang kita mampu capai,” kata Menteri Sukan Perancis, Amelie Oudea-Castera.
"Kita akan memberikan kegembiraan kepada seluruh dunia,” katanya lagi.
Inovasi utama larian obor Olimpik Paris ialah pengenalan pembawa obor kolektif, dengan pelbagai pembawa obor berfungsi sebagai satu kumpulan dalam larian.
Liu Jia, warga Austria berdarah China dan bekas ahli pasukan pingpong kebangsaan Austria, menyertai lebih 20 atlet dari pelbagai negara Eropah sebagai sebahagian daripada kumpulan"pembawa obor kolektif."
"Menjadi pembawa obor bersama begitu ramai atlet dari negara lain adalah pengalaman yang sangat unik, dan ia turut mencerminkan semangat Olimpik yang lebih bersatu,” kata Liu. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!