Pasukan jururawat sedia santuni jemaah haji

Iklan
Nur Ainon (kiri) bersama jururawat Pusat Perubatan Madinah menyemak rekod perubatan di Hotel Roha Al-Madinah.

MADINAH - Pasukan jururawat Pusat Rawatan Madinah sedia berkhidmat kepada jemaah haji musim 1445M/2024 bagi memastikan kesihatan dan kebajikan mereka yang memerlukan dijaga dengan baik.

Ketua jururawat, Nur Ainon Mohamad, 48, berkata, seramai 16 jururawat berkhidmat di Pusat Rawatan Madinah yang terdiri daripada 13 jururawat wanita dan tiga jururawat lelaki.

Iklan
Iklan

Nur Ainon yang mempunyai pengalaman berkhidmat selama 24 tahun itu memberitahu tugasnya di Pusat Rawatan Madinah menjaga penempatan jemaah haji dan petugas bagi memastikan rawatan yang terbaik.

"Di Pusat Rawatan Madinah ini kita berikan rawatan yang optimum dan terbaik untuk jemaah haji Malaysia supaya mereka semua kekal sihat dan dapat menjalankan ibadah haji dengan sebaiknya,” katanya dalam satu sidang media.

Iklan

Beliau yang bertugas sebagai ketua jururawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu berkata, tujuan beliau memohon untuk menjadi jururawat dalam operasi haji kali ini adalah kerana keinginan untuk berbakti kepada jemaah haji Malaysia.

"Saya mohon untuk bertugas sebagai petugas perubatan kerana saya ingin memberi bakti, menolong jemaah haji Malaysia yang rata-ratanya berumur dan perlukan bantuan.

Iklan

"Ibu bapa saya pun berumur juga, jadi saya anggap jemaah haji Malaysia ini seperti keluarga saya sendiri,” katanya.

Ketika ditanya tentang pengalaman yang tidak pernah dilupakan sepanjang berkhidmat sebagai petugas perubatan di musim haji Nur Ainon berkata, kenangan merawat seorang jemaah haji yang berumur 92 tahun dan patah tulang paha satu pengalaman yang akan diingatinya.

"Jemaah itu cedera di Malaysia tetapi tetap semangat untuk menunaikan haji. Ketika tiba di sini kita rawat dan hantar menggunakan ambulans tetapi yang sedihnya makcik tersebut meninggal dunia di Makkah,” katanya.

Menurutnya, cara merawat pesakit di Tanah Suci dan Malaysia adalah jauh berbeza terutama dari segi jenis penyakit dan rawatan yang diberikan.

"Kalau di Malaysia macam-macam kes penyakit ada tetapi kalau di sini kebanyakannya adalah masalah pernafasan kerana jemaah haji kita terutama warga emas tidak dapat menyesuaikan diri dengan cuaca panas di Tanah Suci.

"Pada saya pengalaman bertugas di Tanah Suci ini berbeza dengan Malaysia termasuk masalah peralatan yang terhad dan tenaga kerja yang kurang tetapi kita cuba urus supaya dapat beri yang terbaik,” katanya.

Sempena Hari Jururawat pada 12 Mei ini, Nur Ainon mengucapkan kepada semua jururawat selamat berkhidmat menyantuni duyufurrahman 1445M/2024 semoga tugas dan ibadah yang dijalankan dirahmati ALLAH.

Sementara itu, jururawat lelaki, Tormizi Zakaria, 31 berkata, beliau berasa bersyukur kerana terpilih buat kali pertama sebagai petugas perubatan dan bersemangat untuk berkhidmat kepada jemaah haji Malaysia.

"Ini adalah hadiah paling bermakna untuk saya kerana pertama kali saya mohon untuk berkhidmat saya terus mendapat panggilan untuk serta pasukan perubatan di Tanah Suci ini.

"Tujuan memohon adalah kerana saya mahu mencuba perkara baharu, selain ingin menunaikan ibadah di Tanah Suci,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!