MANJUNG - Sebanyak 29 wanita warga Vietnam dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dan tukang urut, antara 39 pendatang tanpa izin yang ditahan Jabatan Imigresen (JIM) Perak dalam serbuan di empat premis sekitar Manjung.
Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, penahanan dilakukan selepas pemeriksaan dijalankan terhadap 82 individu dalam Op Gegar bermula 11 malam tadi hingga 2 pagi tadi.
"Kesemua 39 pendatang tanpa izin yang ditahan terdiri daripada warga Vietnam, Myanmar, Indonesia, Thailand dan China berusia 25 hingga 35 tahun.
"Kita telah melakukan serbuan di dua pusat hiburan karaoke dan dua pusat urut susulan aduan serta risikan mengenai aktiviti yang menawarkan khidmat GRO dan urut,” katanya pada sidang akhbar di sini awal pagi hari ini.
Meor Hezbullah berkata, premis-premis terbabit telah diserbu pada tahun lepas dan didapati melakukan kesalahan berulang, justeru pihaknya akan memanjangkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau berkata, kesemua warga asing itu dibawa ke depoh tahanan di Ipoh bagi tujuan siasatan lanjut kerana dipercayai telah melakukan pelbagai kesalahan imigresen di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk berada di dalam negara dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.
"Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan juga di bawah Akta Pasport 1966," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!