MERSING – [DIKEMASKINI] Seorang kerani wanita berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM145,555 lesap akibat terpedaya dengan pelaburan dalam talian yang tidak wujud.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi, pihaknya menerima aduan daripada wanita warga tempatan berusia 31 tahun itu Rabu lalu.
"Siasatan mendapati mangsa melakukan 19 kali transaksi pembayaran kepada empat akaun berbeza pada tarikh 30 April hingga 4 Mei 2024.
"Difahamkan, transaksi tersebut adalah sebagai modal pelaburan dan pembayaran cukai bagi mengeluarkan semula modal dan keuntungan pelaburan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu dan secara tidak jujur dorong harta diserah,” katanya.
Siasatan juga akan meliputi penglibatan ‘keldai akaun’ dan sekiranya ada, tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun teribat.
Polis turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai sebarang tawaran pelaburan tertamanya yang diiklankan di media sosial tanpa berurusan secara bersemuka.
Ahli perniagaan rugi RM124,450 terpedaya 'phone scam'
Sementara itu di IPOH, seorang ahli perniagaan kerugian sebanyak RM124,450 selepas menjadi mangsa sindiket 'phone scam', Rabu lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pengadu berusia 55 tahun menyatakan bahawa kerani di syarikatnya ditipu sindiket yang telah menyamar sebagai dirinya.
"Dalam kejadian sekitar jam 1.50 petang itu, kerani terbabit menerima pesanan WhatsApp daripada pengadu yang memberi arahan untuk membuat pindahan wang berjumlah RM30,000 ke akaun tidak dikenali.
"Anak pengadu telah meluluskan transaksi pindahan wang tersebut kerana beranggapan bahawa bapanya yang memberikan arahan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Menurut Mohd Yusri, sindiket terbabit telah mengulangi arahan sama untuk membuat pindahan wang berjumlah RM86,450 ke dua akaun berbeza, Khamis lalu.
"Sebanyak tiga kali transaksi pindahan wang yang dilakukan kerani di syarikat milik pengadu di Gopeng ke dua akaun berbeza.
"Pengadu menyedari nombor telefonnya digodam ketika berada di Hatyai, Thailand selepas dihubungi rakannya yang bertanyakan mengenai masalah kewangan hingga mahu meminjam wang.
"Pengadu bagaimanapun memaklumkan tidak pernah memberi sebarang arahan pindahan wang atau mahu meminjam daripada rakan-rakannya," katanya.
Tambah beliau, semakan mendapati sebanyak lima transaksi pindahan wang daripada akaun syarikat ke tiga akaun berbeza telah dilakukan dan siasatan dijalankan mengikut 420 Kanun Keseksaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!