HULU SELANGOR - Kakak kembar kepada calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Ying yakin adiknya, Pang Sock Tao mampu menjadi wakil rakyat yang baik sekiranya menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.
Menyifatkan adiknya sebagai seorang yang bekerja keras, Sock Ying berkata, calon berusia 31 tahun itu sememangnya menunjukkan minat tinggi untuk menjadi wakil rakyat.
"Ketika mula-mula dia (Sock Tao) memberitahu bakal bertanding dalam pilihan raya saya dan keluarga agak terkejut kerana bimbang dia tidak cukup rehat.
"Ini kerana saya tahu dia seorang yang sangat kuat bekerja. Tapi terlibat dalam politik ini memang biasa dalam keluarga kami.
"Harapan saya, dia dapat capai impian untuk bergelar wakil rakyat dan saya doakan yang terbaik buat kembar saya," katanya ketika ditemui di pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khing Ming, Kuala Kubu Baharu, di sini pada Sabtu.
Ditanya sama ada dirinya juga berminat untuk menyertai politik, Sock Ying yang merupakan pegawai di salah sebuah bank di Kuala Lumpur mengakui belum berfikir ke arah itu.
Terdahulu, Sock Tao yang tiba di SJKC Khing Ming mengejutkan pihak media apabila mengakui dirinya mempunyai pasangan kembar.
Anak kelahiran Ampang, Selangor itu juga turut teruja bertemu pasangan kembar, Chan Sher Er Chan Sher Ni, 25 yang membuang undi di sekolah berkenaan.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru diadakan susulan kematian penyandangnya Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.
Seramai 39,269 pemilih berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab mengundi bagi memilih DUN Kuala Kubu Baharu.
Kesemua 18 pusat pengundian yang mengandungi 74 tempat mengundi atau saluran dibuka serentak bermula pukul 8 pagi dan ditutup pukul 6 petang.
Bagaimanapun, pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 pengundi ditutup pukul 2 petang
Proses pengiraan undi pula akan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi dekat Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Kuala Kubu Baharu di sini.