PERSATUAN Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan mengadakan solat hajat bagi memohon kesejahteraan dan keselamatan semua pemain Terengganu FC (TFC) serta tonggak Selangor FC, Faisal Halim hari ini.
Presidennya Hishamuddin Abdul Karim berkata, majlis doa selamat dan solat hajat akan diadakan di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus pada jam 7.30 malam sebelum aksi perlawanan Liga Super antara Terengganu FC dan Perak FC.
Justeru, para penyokong kedua-dua pasukan dialu-alukan untuk menyertai majlis tersebut.
"Jadi, kita alu-alukan semua penyokong, tidak kira mereka yang penyokong pasukan TFC atau Perak, sama-sama menyertainya.
"Ini juga antara usaha kita untuk memberi kekuatan khususnya kepada pemain sayap pasukan TFC Akhyar Rashid dan Faisal yang pernah menyarung jersi skuad penyu sebelum ini," katanya ketika dihubungi.
Baru-baru ini, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden yang menimpa Faisal yang cedera disimbah asid di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, Selangor pada 5 Mei.
Insiden malang itu adalah yang kedua menimpa pemain negara selepas pemain sayap TFC Akhyar cedera akibat dipukul dan disamun dalan kejadian di sini pada 2 Mei.
Pada Selasa pemain Johor Darul Takzim, Safiq Rahim pula diserang di Johor Bahru oleh dua lelaki menaiki motosikal yang bertindak memecahkan cermin bahagian belakang keretanya menggunakan tukul besi. - Awani
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!