SIK - Seorang bekas guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) dari Kampung Teloi Tua di sini, koma sejak dua tahun lalu akibat komplikasi selepas melahirkan anak ketiga.
Suaminya, Muhammad Shazuan Md Saad, 38, berkata, sejak itu, isterinya, Nurul Azhani Abu Hassan @ Hussain, 37, terlantar serta memerlukan penjagaan eksklusif sepanjang masa.
Muhammad Shazuan yang bekerja sebagai siak masjid berkata, disebabkan keadaan itu, anak bongsu diserahkan kepada adiknya untuk dijaga.
"Sudah hampir dua tahun berlalu, keadaan isteri tidak banyak berubah, dia masih tidak sedarkan diri, sesekali hanya mampu membuka mata, namun masih koma selepas melahirkan anak menerusi pembedahan pada 6 Julai 2022," katanya.
Muhammad Shazuan atau lebih dikenali sebagai Wan berkata, setiap bulan dia perlu menyediakan keperluan isterinya terutama susu khas yang berharga antara RM45 hingga RM50 setin dan memerlukan 30 tin sebulan.
Selain itu, dia perlu menyimpan wang untuk menyewa ambulans bagi membawa isterinya ke Hospital Sik dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani setiap tiga bulan sekali.
"Kos sewa ambulans ke Hospital Sik pergi balik sebanyak RM250 manakala ke HSAH sebanyak RM500, sekiranya rawatan di hospital lambat sejam, saya perlu tambah RM50 bagi setiap jam sewa ambulans.
"Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ada berikan 16 tin susu setiap bulan dan selebihnya saya kena beli sendiri," katanya.
Wan berkata, dia hanya menggunakan elaun RM700 sebagai siak untuk menyara keluarga selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sebanyak RM300.
Bagaimanapun ia masih tidak mencukupi bagi menampung keperluan mereka sekeluarga.
"Untuk sebulan paling kurang saya perlu ada RM2,500 untuk isteri dan anak-anak, saya tak dapat cari kerja lain kerana perlu jaga isteri, sebelum ini saya jadi tukang rumah untuk tambah pendapatan, sekarang tak boleh lagi, wang simpanan juga telah habis digunakan.
"Anak-anak semakin besar, anak sulung saya Muhammad Syakir Amin kini berusia 13 tahun, Nurul Umairah,11, dan Muhammad Zakwan Adha sudah berusia setahun lapan bulan," katanya.
Wan sangat berharap masih ada keajaiban untuk isterinya kembali sembuh dan bersama anak-anak yang sangat rindukan kasih sayangnya.
Menceritakan kembali peristiwa tersebut, isterinya pengsan dan jantungnya terhenti selama setengah jam sebelum disahkan koma selepas melahirkan anak secara pembedahan.
Dia difahamkan doktor bahawa punca isterinya koma adalah disebabkan air ketuban memasuki saluran darah dan kes itu sangat jarang berlaku yang selalunya berakhir dengan kematian.
Bagi orang ramai yang bersimpati, boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam bernombor 02-132-02-004321-5 atas nama Muhammad Shazuan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!