Malaysia mengalukan keputusan PBB, timbang keanggotaan penuh Palestin

Iklan
Malaysia mengalu-alukan Resolusi Perhimpunan Agung PBB yang menggesa Majlis Keselamatan PBB menimbang semula permohonan Palestin untuk diterima sebagai Anggota Penuh PBB.

SHAH ALAM - Malaysia mengalu-alukan Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa Majlis Keselamatan PBB menimbang semula permohonan Palestin untuk diterima sebagai Anggota Penuh PBB.

Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam satu kenyataan berkata, sebelum ini permohonan tersebut digagalkan oleh satu undi veto pada bulan lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, resolusi yang diluluskan semasa Sesi Kecemasan Khas Ke-10 di Perhimpunan PBB pada Jumaat itu disokong oleh 143 negara, sembilan mengundi menentang dan 25 berkecuali.

"Sokongan melebihi dua pertiga negara anggota PBB untuk menyokong hak rakyat Palestin menentukan nasib mereka sendiri.

Iklan

"Hak untuk Palestin yang berdaulat, menzahirkan komitmen masyarakat antarabangsa yang tidak berbelah bahagi untuk mencapai keamanan berkekalan di Timur Tengah.

"Resolusi ini juga memberikan keistimewaan kepada Palestin untuk menyertai secara penuh sesi-sesi di PBB,” katanya pada Sabtu.

Iklan

Media melaporkan sebelum ini, Palestin secara rasmi melancarkan permohonan semula untuk menjadi anggota penuh PBB yang disifatkan sebagai keputusan wajar dalam menghadapi ofensif ganas Israel di Genting Gaza.

Sejak 2012, Palestin hanya memegang status pemerhati di badan dunia tersebut dan telah melobi selama bertahun-tahun untuk mendapatkan keanggotaan penuh yang akan turut mengiktiraf negara itu.

Tambah KLN, Malaysia menyokong dan menaja bersama Resolusi berkenaan bersama 76 negara anggota PBB yang lain.

Ujarnya, negara ini akan meneruskan usaha ke arah penubuhan Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara serta kemasukan negara itu sebagai anggota penuh PBB.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!