BIARPUN sudah melepasi tempoh kritikal pemain sayap negara, Faisal Halim tidak boleh 'diganggu' bagi memastikan proses pemulihan menerusi pembedahan 'skin allograft' tidak berdepan sebarang masalah.
Ketua Perubatan Sukan Selangor FC, Dr Muhammad Hazwan Khair berkata, selepas menjalani pembedahan ketiga pada Khamis, keutamaan adalah untuk melihat tindak balas tubuh pemain itu terhadap proses tersebut sama ada menunjukkan reaksi positif atau sebaliknya.
Beliau berkata, pemain berusia 26 tahun itu tidak boleh dikunjungi pelawat dan memerlukan pemantauan rapi sebelum doktor pakar melakukan pembedahan berikutnya di sebuah hospital swasta di Shah Alam.
"Selepas pembedahan selama tiga jam lewat petang Khamis, tumpuan doktor beralih kepada fasa rekonstruktif, menggunakan allograft. Doktor memantau dengan teliti tindak balas badannya, mengutamakan pencegahan jangkitan dan memastikan pemakanan yang optimum," katanya.
Pemain dari Pulau Pinang yang mewakili Selangor FC itu menerima rawatan standard tertinggi apabila dirawat menggunakan 'skin allograft' dari Belgium yang mencecah nilai RM30,000.
Prosedur itu dilakukan jika pesakit tidak memiliki kulit yang mencukupi digunakan bagi merawat dan menutup luka melecur yang besar.
Muhammad Hazwan menjelaskan pegawai perubatan tidak menjangkakan sebarang perkembangan ketara dalam tempoh terdekat kerana proses tersebut mengambil masa, namun diharapkan tubuh badan pemain itu dapat memberi reaksi positif.
"Namun, keadaan Faisal seperti diberitahu isterinya (Nur Syawani Mizuana Shahril) semakin positif dan kian selesa. Ia terbukti dengan berjalan tanpa bantuan ke bilik air," katanya.
Beliau memberitahu, ketika ini tempoh lawatan ke atas pemain itu yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hanya dihadkan kepada doktor pakar dan kakitangan perubatan bagi tujuan pemantauan serta proses pemulihan.
"Kami harap keluarga dapat melindunginya daripada sebarang berita negatif kerana mahu dia kekal positif dan memberi fokus kepada proses rawatan serta pemulihan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!