JEMPOL - Perjalanan enam beranak ke Bandar Baru Serting di sini, bertukar tragedi apabila seorang daripadanya maut dalam kemalangan di Kilometer 7 Jalan Bahau-Batu Kikir di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendean Hoo Chang Hook berkata, kejadian jam 2.11 pagi itu menyebabkan pemandu kenderaan iaitu wanita berusia 41 tahun maut akibat cedera parah.
"Mangsa dan suami berusia 40 tahun serta empat anak mereka berusia 13,12,10 dan enam tahun dalam perjalanan dari Kajang, Selangor ke Bandar Baru Serting.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan kemudian melanggar tunggul pokok yang berada di bahu jalan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan wanita terbabit meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala serta patah kaki kiri.
Tambahnya, suami dan anak-anak mangsa dihantar ke Hospital Kuala Pilah bagi mendapatkan rawatan kecemasan.
Sehubungan itu katanya, saksi kejadian yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Imran Sharwandy Suwandi Yazid ditalian 012-6434489 bagi membantu siasatan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!