PONTIAN - Kerajaan Johor menyediakan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi kerja naik taraf taman negara di negeri ini sebagai persiapan Tahun Melawat Johor 2026.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, terdapat enam taman negara di Johor iaitu Endau-Rompin Peta, Endau-Rompin Selai, Tanjung Piai, Pulau Kukup, Gunung Ledang dan Taman Laut Sultan Iskandar.
Menurut beliau, kesemua taman negara itu mempunyai keistimewaan alam semula jadi yang mampu menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara.
"Justeru, kerajaan negeri giat melakukan kerja naik taraf kemudahan infrastruktur yang terdapat di taman negara bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung.
"Usaha naik taraf menerusi Bajet Johor 2024, bukan sahaja untuk melestarikan kawasan tarikan di negeri ini tetapi juga menggalakkan aktiviti berbentuk kesihatan dan mencintai alam sekitar.
"Kerja-kerja naik taraf di enam taman negara ini telah pun bermula tahun ini dan perlu siap sebelum tahun 2026 yang merupakan tahun melawat Johor," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan semula Pulau Kukup di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atas dan ADUN Pekan Nanas, Tan Eng Meng.
Tian Soon berkata, Pulau Kukup akan dibuka semula kepada orang ramai pada 17 Mei ini, setelah ditutup lebih empat tahun atas faktor keselamatan antaranya disebabkan jeti di situ dikategorikan tidak selamat.
Katanya, Pulau Kukup yang merupakan pulau paya bakau tidak berpenghuni kedua terbesar di dunia berkeluasan 647 hektar turut menerima peruntukan bagi pembinaan jeti baharu.
"Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM600,000 untuk membina jeti pelampung sementara selain dana RM2.4 juta melalui Koridor Ekonomi Wilayah Iskandar (IRDA) bagi membaiki kerosakan dan mempertingkatkan kemudahan serta laluan ke pulau itu.
"Taman Negara Johor juga menerima peruntukan RM20 juta daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk tujuan pembinaan jeti baharu serta fasiliti lain di sini," katanya lagi.
Sementara itu, beliau turut memberi jaminan, kerajaan negeri akan memastikan pokok bakau daripada spesies hibrid 'rhizophora x lamarkii' berusia hampir 100 tahun di Pulau Kukup akan terus dipelihara.
"Pasukan pakar berkaitan pokok bakau yang terdiri daripada saintis tempatan akan dilantik supaya dapat mengenal pasti kaedah yang sesuai untuk Taman Negara Johor terus menjaga pokok ini.
"Selain itu, pasukan pakar ini juga akan membantu beri nasihat dan maklumat bagi memastikan hutan bakau terus terpelihara kerana peranan hutan bakau cukup besar dalam mengurangkan kesan perubahan iklim dan benteng pertahanan kepada hakisan ombak," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!