PM Anwar melawat Qatar mulai Ahad

Iklan
Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan lawatan rasmi ke Qatar dari 12 hingga 14 Mei untuk mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama di antara Malaysia dan Qatar di dalam pelbagai aspek, kata Kementerian Luar (Wisma Putra).

Dalam kenyataannya pada Sabtu, Wisma Putra berkata, lawatan sulung Perdana Menteri ke Negara Teluk itu adalah atas jemputan Amir Qatar Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani dan bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Qatar.

Iklan
Iklan

"Selain diberikan sambutan rasmi oleh Amir Qatar, Perdana Menteri juga akan menghadap Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani,” katanya.

Lawatan ini juga akan melibatkan pertemuan dua hala di antara Perdana Menteri dengan Sheikh Mohammed Bin Abdulrahman bin Jassim Al-Thani, Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar.

Iklan

Wisma Putra berkata, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kemajuan hubungan dua hala terutamanya mengenai kerjasama ekonomi dan pendidikan serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, termasuk konflik Palestin-Israel.

Semasa di Doha, kementerian itu berkata, Perdana Menteri akan menyertai Forum Ekonomi Qatar (QEF) Keempat 2024 dan bertemu dengan kapten-kapten industri dan para pelabur dari Qatar sebagai usaha menarik pelaburan bagi inisiatif Ekonomi Madani.

Iklan

Beliau juga akan menghadiri pertemuan dengan diaspora Malaysia di Doha, katanya.

Wisma Putra berkata, Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Dalam pada itu, Duta Besar Malaysia di Qatar, Zamshari Shaharan menyifatkan lawatan sulung Perdana Menteri itu sebagai satu permulaan yang baik bagi kedua-dua negara, bukan sahaja mempererat hubungan baik selama 50 tahun malah juga meneroka kerjasama baharu untuk 50 tahun akan datang.

"Malaysia dipandang tinggi oleh Qatar sebagai antara negara Islam progresif dan moden yang telah mencapai kejayaan ekonomi yang mengagumkan selama ini,” katanya kepada pemberita semasa sidang media sempena lawatan rasmi Perdana Menteri di Kedutaan Malaysia di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, kehadiran Anwar yang juga Menteri Kewangan pada forum ekonomi itu dilihat signifikan memandangkan Malaysia turut diberikan pentas menerusi sesi ‘In Coversation with Prime Minister Anwar Ibrahim’ selama 30 minit untuk berinteraksi dengan peserta forum meliputi peserta industri di Qatar serta delegasi kerajaan.

"Selain itu, kehadiran Anwar pada perjumpaan meja bulat bersama 30 wakil syarikat Qatar, akan memberi kesempatan kepada beliau menjelaskan keadaan ekonomi negara dan bentuk insentif atau inisiatif yang kita boleh tawarkan jika melabur di Malaysia.

"Qatar juga berminat untuk menarik pelaburan masuk antaranya dengan mengadakan usaha sama dengan syarikat Malaysia dan bertapak di Qatar, selari dengan visi kerajaan Qatar,” katanya.

Zamshari berkata, antara sektor yang berpotensi di Qatar adalah tenaga boleh baharu.

Pada tahun lepas, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Qatar mencecah RM4.3 bilion dan aliran itu dijangka meningkat susulan lawatan rasmi kali ini.

Tahun lepas, eksport utama Malaysia ke Qatar ialah produk besi dan keluli sebanyak 37.2 peratus; jentera, kelengkapan dan peralatan (16.5 peratus); produk minyak sawit dan pertanian berasaskan minyak sawit (8.5 peratus) manakala selebihnya ialah makanan diproses serta produk elektrik dan elektronik.

Sementara itu, import Malaysia dari Qatar terdiri daripada produk petroleum (47.4 peratus), petroleum mentah (31.5 peratus); kimia dan produk kimia (10.5 peratus), barangan perkilangan logam (9.3 peratus) dan produk perkilangan berasaskan minyak sawit (0.3 peratus). - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!