NEW YORK - Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Gilad Erdan sengaja membuat drama di pentas antarabangsa selepas 143 negara menyokong resolusi untuk keanggotaan penuh Palestin pada Jumaat.
Erdan dilihat mengoyakkan salinan Piagam agensi tersebut dengan alat penghancur kertas sebagai tanda protes terhadap langkah simbolik yang berpihak kepada Palestin itu.
Beliau turut mengkritik resolusi tersebut dan menyifatkan ia sebagai pelanggaran jelas kepada Piagam berkenaan dan menuduh sesi itu melangkaui undi veto dibuat sekutu kuat mereka, Amerika Syarikat (AS) di Majlis Keselamatan PBB pada bulan lalu.
"Saya mahu seluruh dunia mengingati detik ini. Anda menghancurkan Piagam PBB dengan tangan anda sendiri," ujarnya yang berang selepas komuniti antarabangsa kini menyokong Palestin di tengah-tengah Perang Gaza yang semakin ganas.
Menteri Luar, Israel Katz juga senada dengan Erdan yang mendakwa resolusi dikemukakan Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu kononnya sebagai tidak masuk akal dan menunjukkan pendirian berat sebelah.
Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang mentadbir Tebing Barat menyifatkan keputusan undian itu menunjukkan Palestin layak memohon keanggotaan penuh selepas ia pertama kali dikemukakan pada 2011.
Pada bulan lalu, Palestin yang memegang status negara pemerhati bukan anggota melancarkan semula permohonan tersebut, namun Amerika Syarikat (AS) memveto langkah itu yang dikemukakan kepada UNSC. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!