TH gesa umat Islam waspada penggunaan visa haji tidak sah

Iklan
TH mengingatkan umat Islam Malaysia supaya lebih berwaspada dengan sebarang tawaran pakej haji menggunakan visa yang tidak sah.

SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) mengingatkan umat Islam Malaysia supaya lebih berwaspada dengan sebarang tawaran pakej haji oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan visa tidak sah.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, pemberian visa haji selain melalui kuota rasmi Malaysia merupakan hak mutlak kerajaan Arab Saudi.

Iklan
Iklan

"Kebenaran memasuki kawasan Arafah, Mudzalifah dan Mina (Masyair) untuk menunaikan ibadat haji hanya diberikan kepada jemaah yang mempunyai visa haji yang sah sahaja.

"Manakala visa lain bagi tujuan pelancongan, pekerjaan, perniagaan, pengajian, umrah dan sebagainya tidak akan dibenarkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, setiap kali tibanya musim haji, akan muncul segelintir pihak yang cuba membuat pelbagai tawaran visa dan pakej haji di luar kuota haji negara.

"Oleh itu, penting untuk orang ramai memeriksa dengan teliti terlebih dahulu setiap tawaran yang diberikan termasuklah jenis visa yang digunakan,” tambah beliau.

Iklan

Syed Hamadah menjelaskan bahawa kerajaan Arab Saudi giat memperkenalkan pelbagai inisiatif bertujuan meningkatkan kecekapan prosedur musim haji bagi kelancaran proses ibadat dan keselamatan para jemaah haji yang datang dari seluruh dunia.

"Kerajaan Arab Saudi akan melaksanakan kawalan keselamatan yang lebih ketat semasa kemuncak haji dengan sistem pengesahan jemaah haji yang lebih efisien bagi memeriksa setiap jemaah yang masuk ke kawasan Masyair.

"Sebarang penggunaan visa tidak sah, akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang kerajaan tempatan dan penalti sebanyak SAR10,000,” katanya.

Syed Hamadah menasihatkan bakal-bakal haji untuk lebih berhati-hati dan hanya menggunakan perkhidmatan pakej haji oleh 25 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan TH bagi Musim Haji 1445H/2024M.

"Mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa lesen daripada TH merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535),” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!