PRK KKB: Lega dapat mengundi walau tiba lewat

Iklan
Norhafizah selesai mengundi beberapa minit sebelum pusat mengundi SMK Ampang Pecah (Bestari) ditutup pada Sabtu.

HULU SELANGOR - Walaupun tiba saat akhir dalam cuaca hujan, seorang penjawat awam lega kerana dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada Sabtu.

Norhafizah Mohd Nawawi, 42, tiba di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ampang Pecah (Bestari), Kuala Kubu Bharu kira-kira jam 5.50 petang ketika petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang bersiap sedia untuk menutup pusat berkenaan.

Iklan
Iklan

Norhafizah berkata, dia tidak berkesempatan datang mengundi awal kerana membantu suaminya meniaga nasi lemak di kawasan tempat tinggal mereka di Kampong Bharu, Kuala Lumpur.

"Alhamdulillah saya masih sempat mengundi sebab kalau tidak mengundi saya rasa rugi sangat dan seolah-olah mengabaikan tanggungjawab sebagai rakyat.

Iklan

"Ini kali ketiga saya mengundi. Sebelum ini saya memang datang mengundi awal walaupun ketika saya sarat mengandung, jam 8 pagi dah terpacak depan pusat mengundi," katanya kepada Sinar Harian.

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Iklan

PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Ji Ming (kanan) ditemani ibunya selesai menunaikan tanggungjawab mengundi di SMK Ampang Pecah (Bestari) pada Sabtu.

Sementara itu, pekerja kilang, Leow Ji Ming, 21, berkata, dia bernasib baik kerana dapat tiba di pusat mengundi kira-kira 15 minit sebelum pagar ditutup.

"Mak saya, Tai Kum Yoke, 56, datang ambil saya di Kepong, Kuala Lumpur sebab saya tak ada kenderaan untuk balik kampung.

"Sebab itu saya sampai agak lewat kerana kebetulan saya juga kerja hari ini dan minta dengan majikan untuk balik kerja awal," ujarnya.

Kata anak bongsu daripada empat beradik itu, dia baru dua kali menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi iaitu pertama kali pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, Ogos tahun lalu.

"Sebagai pengundi muda saya puas hati dapat jalankan tugas saya demi masa depan kawasan Kuala Kubu Baharu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!