HULU SELANGOR - Dua calon yang bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Hafizah Zainuddin yang mewakili Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Bebas, Nyau Ke Xin hilang wang deposit.
Kedua-duanya gagal memperoleh wang itu selepas memperoleh undi kurang satu per lapan daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira dalam pilihan raya tersebut.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Hafizah memperoleh 152 undi, manakala Ke Xin mendapat 188 undi.
Sementara itu, Pang Sock Tao yang mewakili Pakatan Harapan (PH) mendahului dengan 14,000 undi diikuti Khairul Azhari Saut dengan 10,135 undi.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.
Pada pilihan raya negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan calon PN, Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.
Mendiang kali pertama mewakili kawasan itu pada 2013 apabila menewaskan Ooi Hui Wen dari MCA dengan majoriti 1,702 undi.
Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 40,226 pemilih di DUN berkenaan layak mengundi termasuk 863 pengundi awal.
Secara keseluruhan sebanyak 18 pusat pengundian yang mengandungi 74 tempat mengundi atau saluran dibuka serentak bermula jam 8 pagi dan ditutup jam 6 petang.
Bagaimanapun, pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 pengundi ditutup jam 2 petang.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!