Selepas 25 tahun, pastikan PKR kekal relevan - Nurul Izzah

Iklan
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar ketika sidang media mengenai program sambutan 25 tahun PKR di ibu pejabat PKR, hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Selepas meraikan ulang tahun ke-25 penubuhannya malam ini, PKR kini berdepan cabaran memastikan parti itu sentiasa relevan dalam setiap generasi khususnya golongan muda.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, masih banyak lagi yang harus diperhalusi dan sambutan ulang tahun ke-25 parti itu hari ini menjadi platform untuk mendapatkan maklum balas daripada orang ramai.

Iklan
Iklan

"Saya gembira kita mempunyai venue ini untuk merapatkan jurang antara ahli parti dan kepimpinan yang juga adalah sebahagian daripada kerajaan negeri dan persekutuan.

"Ia adalah satu usaha ke arah sasaran tersebut (dekati orang muda) dan saya fikir itulah antara misi utama kita. Saya berharap pimpinan parti atau orang muda di luar sana juga dijemput untuk bersama memperkukuhkan lagi langkah-langkah ke hadapan dalam menghasilkan dasar dan program yang cakna dengan keperluan rakyat,” katanya kepada Bernama pada Sambutan Ulang Tahun PKR ke-25 di Depot Sentul di sini malam ini.

Iklan

Seorang lagi Naib Presiden PKR Datuk Seri Aminuddin Harun pula menyifatkan sambutan tersebut menjadi wadah buat semua reformis yang bersama parti itu baik yang lama mahupun baharu dalam perjuangannya.

"Ini sesuatu yang dinantikan semua, sudah 25 tahun kita dalam perjuangan ini, ia bukanlah mudah, kita laluinya dengan pelbagai onak dan duri sepanjang tempoh tersebut.

Iklan

"Sepanjang perjalanan ini juga, ada yang lebih awal keluar parti tetapi ada juga yang tidak jemu dan terus setia dengan parti sejak 25 tahun lalu... jadi sambutan ini juga sebagai pengiktirafan buat mereka... Kami juga tidak lupa kepada pejuang lama yang ketika ini telah berada di tempat lain namun perjuangan dan jasa mereka masih dikenang walaupun kita kini sudah berlainan,” katanya.

Beliau juga berharap kesetiaan dalam parti menjadi pegangan semua ahli dan perjuangan demi kebajikan rakyat kekal menjadi keutamaan.

Hampir 10,000 orang hadir memeriahkan Sambutan 25 Tahun PKR di Depot Sentul di sini yang berlangsung sejak pagi tadi.

Terdapat dua sesi diadakan hari ini iaitu 'Pop Up Market' pada sebelah pagi dan kehadiran kepimpinan tertinggi temasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Presiden PKR, pada sebelah malam.

Majlis hari ini adalah acara kemuncak bagi meraikan ulang tahun ke-25 PKR selepas Konvensyen Khas parti itu berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam, Selangor pada 21 April lepas. - Bernama