KONTINJEN Universiti Teknologi Mara (UiTM) meneruskan prestasi cemerlang dalam kalangan institusi pengajian tinggi awam apabila muncul juara keseluruhan Karnival Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2024 buat kali keenam berturut-turut.
Kontinjen UiTM melabuhkan tirai dua fasa Karnival Sukan MASUM 2024 dengan kutipan pingat keseluruhan sebanyak 41 emas, 29 perak dan 27 gangsa meninggalkan pesaing terdekat Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mengumpul 15 emas, 16 perak, 17 gangsa.
Fasa Dua Karnival MASUM 2024 berlangsung di Universiti Malaya (UM) menyaksikan kontinjen UiTM mengumpul 12 pingat emas, 16 perak dan 16 gangsa mengatasi tuan rumah UM (11 emas), (empat perak), (empat gangsa) sepanjang tujuh hari kejohanan sejak 6 Mei lalu.
Fasa Satu Karnival Sukan MASUM 2024 Fasa 1 yang berlangsung Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebelum ini UiTM mengumpul 29 emas, 13 perak dan 11 gangsa meninggalkan pencabar terdekat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) - 11 emas, lima perak dan 11 gangsa.
Sementara itu, Pengarah Pusat Sukan UiTM, Ahmad Tarmizy Mohammed menyifatkan kejayaan mengekalkan kejuaraan buat kali keenam berturut-turut adalah hasil disiplin dan pengorbanan atlet, sokongan barisan jurulatih serta pengurusan universiti.
"Disiplin dan komitmen diberikan para atlet dan sokongan barisan kejurulatihan serta pengurusan universiti sangatlah tinggi bagi edisi 2024.
"Karnival Sukan MASUM 2024 kali ini berlangsung semasa semester bermula. Para atlet berkorban masa belajar demi berjuang bagi menaikkan nama UiTM.
"Semangat juang dalam kalangan atlet juga membara ditambah dengan cabaran cuaca yang tidak menentu, mereka tetap meneruskan latihan. Kejayaan datang hasil usaha tidak mengenal lelah setiap mereka, tahniah," katanya.
Majlis penutup karnival yang disertai 20 kontinjen kalangan institusi pengajian tinggi awam disempurnakan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Profesor Dr Azlinda Azman,di Auditorium Akademi Pengajian Islam UM, Kuala Lumpur.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!