TEMERLOH - Nilai estetik barang lama menjadi rebutan pengumpulnya hingga ada yang sanggup menghabiskan ratusan ribu ringgit demi mendapatkan koleksi idaman mereka.
Bagi pemilik Galeri Warisan Semantan di Kampung Batu Empat di sini, Mohamad Muzammir Mohd Basari,31, minat mendalam khususnya koleksi Nusantara menjadikan lebih 1,000 barangan telah dikumpul sejak 2012 hingga kini.
Menurutnya, hobinya itu juga menyebabkan beliau sanggup ke luar negara seperti ke Indonesia untuk melengkapkan koleksinya.
"Setakat ini pelbagai koleksi telah dikumpul seperti pedang, keris, tombak, mata wang Kesultanan Melayu, barangan tembaga, pending, caping, kerambit, cincin selain duit lama serta mata wang seluruh dunia.
"Buat masa ini, koleksi kesayangan saya pedang Makara tahun 1890 yang yang dibeli dengan harga kira-kira RM1,200 di Riau, Indonesia pada tahun 2019," katanya ketika ditemui di galeri itu pada Jumaat.
Ujar anak jati Pahang itu lagi, selain koleksi tersebut, beliau juga gigih mengumpul koleksi Kesultanan Melayu khususnya dari Pahang.
"Walaupun sukar untuk mendapatkannya, saya tetap usaha dapatkan seperti menyalin semula gambar-gambar Sultan Pahang dari dulu hingga kini.
"Selain itu, saya juga membeli duit-duit lama yang bernilai pada masa ini," jelasnya yang juga ahli Persatuan Sejarah Negeri Melaka.
Dalam pada itu, Mohamad Muzammir juga mengakui buat masa ini, beliau lebih selesa untuk mengumpul dan tidak terfikir untuk menjual koleksi sedia ada walaupun ditawarkan harga lumayan.
"Buat masa ini, sebagai pengumpul memang payah nak jual dan saya mahukan ia boleh menjadi warisan serta tatapan generasi akan datang.
"Selain mendapatkan koleksi pergi ke pasar-pasar karat seluruh negara, acara jualan, saya juga menggunakan platform media sosial untuk membeli.
"Dan kewujudan galeri ini memberikan peluang untuk saya mengumpul dan menjaga koleksi sedia ada sebaik mungkin," katanya.
Tambahnya, impiannya untuk memiliki muzium sendiri sekali gus dapat mendidik masyarakat menghargai sejarah Melayu dan Nusantara khususnya yang disifatkan memiliki kehebatan tersendiri.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!