Kembar tiga curi tumpuan tunai tanggungjawab

Iklan
Kembar tiga (dari kiri) Zakaria Muhamud, Zaidi Muhamud dan Zaki Muhamud menunjukkan jarinya yang dicelup dakwat kekal selepas mengundi pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis di Sekolah Kebangsaan Our Lady of Fatima (M) Kelatuan hari ini. - Foto: Bernama

KIMANIS - Pasangan kembar tiga, Zaki, Zaidi dan Zakaria Muhamud dari Kampung Kelatuan di sini antara yang mencuri perhatian orang ramai di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Our Lady of Fatima (M) Kelatuan hari ini.

Ketika ditemui selepas menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, tiga beradik berumur 34 tahun itu yang tiba dengan gaya sedondon memakai topi memberitahu bahawa mereka tidak pernah ketinggalan mengundi pada setiap kali pilihan raya sejak Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008.

Iklan
Iklan

Zaidi berkata, mereka bertiga akan datang bersama-sama setiap kali pilihan raya dan tiba awal di pusat mengundi bagi mengelak kesesakan jalan raya.

Dia yang berniaga makanan di Pantai Manis di Pimping, Membakut turut meletakkan harapan tinggi kepada bakal wakil rakyat kawasan berkenaan supaya bersikap 'walk the talk' dalam menunaikan janji untuk memastikan hak setiap penduduk di Kimanis, terbela.

Iklan

"Kami anak muda mahu lebih banyak peluang pekerjaan atau platform menambah pendapatan,” katanya.

Dalam pada itu Zakaria berharap, isu pendatang asing di negeri ini dapat ditangani segera oleh pihak yang berkenaan.

Iklan

"Kehadiran mereka ini membimbangkan dan semakin tidak terkawal. Pihak berkuasa perlu memantau lebih lanjut pergerakan mereka,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Jabatan Air Negeri Sabah.

Sementara itu, seorang warga emas, Chung Chin Pin, 80, dari Kampung Kelatuan mahu calon yang menang mengotakan janji ketika berkempen pada PRK itu.

"Kebajikan warga emas jangan diabaikan dan pekebun kecil juga perlu diberi bantuan," katanya yang mengusahakan tanaman lemon di kawasan Kelatuan.

Sementara itu, Juanis Puduk, 72, seorang pesara polis berkata, wakil rakyat yang dipilih hendaklah membawa pembangunan kepada kawasan Kimanis.

Juanis yang berasal dari Kampung Kelatuan adalah pengundi paling awal tiba di pusat mengundi berkenaan pada jam 7.32 pagi bersama-sama isterinya Marlina Mantil, 70.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin.- Bernama