Laluan utama Kampung Batu 3 Mambau runtuh selepas hujan lebat

Iklan
Penduduk melihat runtuhan yang berlaku di Kampung Batu 3 Mambau. Gambar kecil: Mohd Shamsul

SEREMBAN - Separuh jalan di Kampung Batu 3 Mambau dekat sini runtuh dalam kejadian hujan lebat pada malam Sabtu.

Kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu telah mengakibatkan kira-kira 300 penduduk di situ dan Kampung Sri Mantau berdepan kesukaran untuk berulang alik berikutan jalan terbabit merupakan laluan utama.

Iklan
Iklan

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Batu 3 Mambau Adam Hussin, 63, berkata, runtuhan di sepanjang kira-kira 20 meter jalan itu terpaksa ditutup bagi laluan kerana berisiko.

"Selepas Maghrib, air mula naik dan kira-kira jam 8 malam sudah separas jalan sebelum sedikit demi sedikit runtuh berlaku sehingga separuh jalan.

Iklan

"Kami kemudiannya menghubungi pihak bomba dan polis serta wakil rakyat di sini sebelum dimaklumkan agar tidak mengambil tindakan sendiri. Pihak berkuasa tiba dan menutup jalan ini," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, jalan berkenaan merupakan laluan utama menghubungkan Kampung Batu 3 Mambau dan Kampung Sri Mantau yang mana terdapat kira-kira 300 penduduk.

Iklan

Disebabkan kejadian itu katanya, penduduk di kedua-dua kampung terpaksa menggunakan laluan jauh untuk ke mana-mana.

Sementara itu, seorang penduduk, Azizah Omar, 60 berkata, runtuhan pertama berlaku tiga minggu lalu, namun agak mengecewakan apabila tiada tindakan segera diambil.

Azizah terpaksa menolak kereta sorong sejauh 30 meter untuk membeli ais batu berikutan lori tidak boleh masuk ke situ.

"Ia betul-betul menyusahkan penduduk. Hari ini saya terpaksa menolak kereta sorong sejauh 30 meter untuk membeli ais kerana lori tak boleh masuk ke sini," katanya.

Mohd Shamsul Shamsurihan, 37, pula berkata, kejadian runtuhan di sepanjang sungai tersebut bukanlah baharu berlaku, malah turut terjadi di tempat lain di kampung itu.

Bagaimanapun katanya, kali ini lebih teruk sehingga jalan terpaksa ditutup sekali gus menyukarkan penduduk untuk berulang alik.

"Saya nampak kejadian ini berlaku bila hujan lebat dan air sungai akan laju sehingga menyebabkan hakisan sikit demi sikit.

"Jadi saya harap pihak berwajib segera ambil tindakan ditambah pula keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang," katanya.


Runtuhan semakin serius, penduduk harap cepat baik pulih

SEREMBAN - Penduduk Kampung Batu 3 Mambau di sini, berharap runtuhan jalan sepanjang 20 meter di situ dapat dibaik pulih segera.

Mereka mendakwa, lebih kurang tiga minggu lalu runtuhan telah mula berlaku dan pihak berwajib telah pun mengambil tindakan memasang kanvas.

Bagaimanapun dalam kejadian hujan lebat kira-kira jam 8.15 malam Sabtu, ia semakin memburuk sehingga separuh daripada jalan di situ runtuh sekali gus menyukarkan penduduk untuk berulang alik.

Penduduk, Nor Azwar Nor Azmi, 34, berkata, sememangnya ada laluan lain tetapi ia agak jauh dari situ.

"Biasanya kami nak ke mana-mana memang ikut jalan sini dan saya boleh katakan ia laluan utama, malah dijadikan jalan pintas.

"Tapi hujan lebat semalam (Sabtu) telah memburukkan runtuhan tebing sungai ini yang berlaku tiga minggu lalu sehingga jalan terpaksa ditutup," katanya.

Runtuhan jalan di Kampung Batu 3 Mambau semakin serius.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambau, Yap Yew Weng berkata, kejadian runtuhan di lokasi terbabit sememangnya berada dalam pemantauan pihak berwajib.

Katanya, ketika kejadian kali pertama tiga minggu lalu, pihak Majlis Bandaraya Seremban telah pun mengambil tindakan memasang kanvas bagi mengurangkan risiko runtuhan, sementara menunggu peruntukan masuk.

"Tapi sekarang ia sudah serius. Jadi saya minta pihak MBS untuk memasang papan tanda sebagai makluman orang awam yang laluan ini sudah ditutup.

"Jalan ini memang kena tutup sepenuhnya demi keselamatan orang awam dan dibimbangi ia makin teruk sekiranya hujan lebat," katanya.

Deretan kenderaan yang terpaksa berpatah balik berikutan jalan di Kampung Batu 3 Mambau ditutup akibat runtuhan.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkaitan supaya mengambil tindakan penyelesaian segera kerana kejadian berlaku menimbulkan keresahan penduduk.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati banyak kenderaan yang terpaksa berpatah balik berikutan tiada papan tanda makluman yang diletakkan di hadapan jalan besar berhubung penutupan jalan di situ.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!