KOTA BHARU - Walaupun bangunan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa bakal ‘berwajah baharu’ selepas 22 tahun memberi khidmat kepada orang awam tetapi segala kenangan serta kemudahan yang disediakan tetap terpahat dalam ingatan penggunanya.
Penduduk Nurul Syuhadda Ishak, 40, berkata, banyak kemudahan dan fasiliti yang disediakan di dalam bangunan LTSIP sebelum ini seperti kedai makan dan produk usahawan bumiputera iaitu kraftangan dan batik.
"Jarak antara lapangan terbang dengan rumah hanya 300 meter, saya gemar menggunakan kemudahan yang disediakan seperti bank, restoran makanan dan produk jualan kraftangan serta batik dari negeri Kelantan.
Hashimah Hassan, 63, pula berkata, kenangan paling manis yang tidak boleh dia lupakan ialah apabila orang ramai berkelah dengan menghampar tikar dan membawa bekalan makanan, untuk berada di tepi pagar kawasan LTSIP sambil melihat kapal terbang mendarat atau berlepas.
"Menariknya walaupun bukan ahli keluarga kita yang berada di dalam kapal terbang itu, kita semua akan melambai-lambai ke arah pesawat itu dengan rasa teruja dan gembira, malah cepat-cepat ambil gambar dengan berlatar belakang pemandangan kapal terbang tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pengurus LTSIP Suhaimi Abdul Sani berkata, bangunan berusia 22 tahun tersebut bakal dirobohkan pada 20 Mei ini, mengikut jadual disediakan kontraktor.
"Bangunan lama yang dibina pada 2002 ini akan dirobohkan secara keseluruhan dan sekarang kita giat mengalihkan aset-aset, bagi mengosongkan bangunan lama untuk dipindahkan ke terminal baharu,” katanya.
Pengoperasian terminal LTSIP fasa satu pada 1 Mei, mampu menampung 1.5 juta penumpang, manakala pembinaan fasa dua akan dilaksanakan serta-merta dan dijangka dapat menampung sehingga empat juta penumpang.
Terminal baharu itu memiliki lebih 20 kaunter penerbangan, parkir kenderaan bertingkat, laluan khas untuk pemandu teksi, balai bomba dan penyelamat terminal, pertambahan ruang tempat meletak kapal terbang serta sistem operasi tanpa tunai LTSIP untuk memudahkan penumpang.
Projek pembesaran dan naik taraf LTSIP membabitkan kos RM440 juta.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan cadangan Kerajaan Negeri Kelantan, bagi menambah 400 meter lagi landasan di LTSIP untuk menjadikan ia sebagai lapangan terbang antarabangsa dan akan meminta Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook untuk menyegerakan pembinaan LTSIP yang sedang dilakukan ketika ini.
Anthony Loke dijangka merasmikan Operasi Fasa 1 bagi Projek Pembesaran dan Menaik Taraf LTSIP, esok pagi. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!