JS-SEZ: Johor sasar pendapatan isi rumah RM13,000 sebulan

Iklan
Onn Hafiz

ISKANDAR PUTERI - Projek berimpak tinggi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka berupaya meningkatkan pendapatan isi rumah di negeri ini sebanyak RM13,000 sebulan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, JS-SEZ akan menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri yang seterusnya akan meningkatkan peluang pekerjaan dan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Iklan
Iklan

Oleh itu, beliau berkata, kerajaan negeri telah menggariskan sasaran makro dan indikator yang hendak dicapai melalui pembangunan JS-SEZ.

"Pertamanya, kerajaan negeri meletakkan indikator yang hendak dicapai melalui pembangunan JS-SEZ ialah merekodkan nilai KDNK sebanyak RM260 bilion melalui pertumbuhan tahunan sebanyak tujuh peratus.

Iklan

"Kedua, kerajaan negeri menyasarkan pendapatan isi rumah sebanyak RM13,000 sebulan dengan mengambil kira limpahan ekonomi yang dibawa masuk.

"Ketiga, pembangunan JS-SEZ itu juga dilihat mampu menghasilkan 400,000 peluang pekerjaan baharu berpendapatan tinggi di negeri ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail di sini pada Ahad.

Sebelum itu, Amira Aisya Abd Aziz (Muda-Puteri Wangsa) meminta kerajaan negeri menjelaskan pelan bagi menarik pelaburan langsung asing ke dalam negeri Johor dan pelan kerajaan bagi memastikan manfaat JS-SEZ menerima kesan limpahan ke daerah lain.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz (BN-Machap) berkata, wakil rakyat boleh menggunakan platform sesi libat urus yang akan diadakan oleh kerajaan negeri dan Kementerian Ekonomi pada awal Jun tahun ini untuk memberikan cadangan dan pandangan lain.

Tambahnya, kerajaan negeri akan menerapkan model pembangunan dan kemajuan di Shenzhen, China untuk diterjemahkan dalam JS-SEZ di negeri ini.

Jelasnya, keyakinan tersebut berasaskan kepada faktor-faktor antaranya kedudukan geografi Johor yang sangat strategik dan ketersediaan tanah untuk pelbagai sektor ekonomi.

"Selain itu, Johor juga mempunyai infrastruktur yang baik meliputi pelabuhan, lapangan terbang, jaringan jalan raya dan utiliti, bahkan kos menjalankan perniagaan meliputi kos tanah dan sumber manusia yang kompetitif.

"Kestabilan politik dan dasar mesra pelabur yang jelas juga menjadi faktor yang menarik minat pelaburan untuk melabur di negeri ini," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!