KUALA LUMPUR - Menteri Kabinet, menerusi media sosial masing-masing mengambil kesempatan berkongsi ucapan selamat Hari Ibu yang disambut hari ini, bagi mengenang jasa dan pengorbanan besar para ibu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi catatan di Facebook berkata, tugas sebagai seorang ibu sangat mulia, dengan cabaran membesarkan generasi dalam era serba mencabar ini bukanlah hal mudah.
"Namun biar apa pun kesusahan yang harus dilalui, semoga ibu-ibu ini diberikan kekuatan dan diangkat darjat mereka di sisi Allah SWT.
"Kasih sayang tanpa syarat. Pengorbanan tanpa batas. Begitulah besarnya kasih ibu, umi, emak, mama, bonda, mummy atau lain-lain gelaran untuk insan yang ‘membawa’ dan melahirkan kita ke dunia ini. Hargailah ibu yang masih ada, titipkan doa buat mereka atas pengorbanan dan kebaikan ibu yang sangat tidak terhitung nilainya,” katanya.
Beliau berkata, hargailah dan perlakukanlah ibu dengan penuh rasa hormat.
"Ibu, insan teristimewa. Ibu ialah pahlawan kasih sayang! Jasa dan pengorbanannya tidak terbalas dan hanya Tuhan Yang Maha Memberi Kurnia sahaja yang mampu mengganjarinya. Kasih ibu membawa ke syurga. Selamat Hari Ibu!,” katanya.
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sesungguhnya amat besar jasa ibu dalam melahirkan, membesarkan, mendidik dan mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak yang tidak berbelah bahagi.
"Semoga hari ini menjadi hari istimewa buat anda yang bergelar ibu. Selamat Hari Ibu diucapkan kepada semua wanita yang bergelar ibu. Terima Kasih Ibu,” katanya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menitipkan ucapan khas buat ibunya Rubiah Saryut dan Che Gayah Hassan (semoga Allah SWT limpahi rahmah keampunan ke atas roh mereka) dan isteri tercinta Norhayati Musa.
"Jasa dan pergorbanan ibu-ibu mewajarkan doa berterusan dari kita anak-anak,” katanya.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pula menyatakan bahawa para ibulah yang membina Malaysia dengan tangan mereka, doa dan juga kasih sayang.
"Sesebuah negara menjadi kuat hasil daripada keluarga yang kuat. Selamat Hari Ibu kepada kesemua ibu-ibu kita!,” katanya.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramanan berkata, kasih sayang dan pengorbanan ibu tiada taranya, yang tidak hanya melahirkan dan membesarkan anak-anak dengan kasih sayang, ibu juga menjadi inspirasi dan motivasi kepada masyarakat kita.
"Mummy, ibu, amma, umi, emak, bonda, atau mama, tak kira apa gelarannya, andalah yang melahirkan generasi di dunia ini.
"Ibu adalah guru pertama dalam kehidupan setiap anak, membentuk nilai-nilai, etika, dan karakter yang akan membimbing mereka sepanjang hidup. Seorang ibu mengorbankan waktu, tenaga, bahkan karier demi memastikan anak-anak bahagia dan sejahtera,” katanya.
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Chang Li Kang mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua ibu dan mengucapkan terima kasih atas segala pengorbanan demi membesarkan anak-anak.
"Tanpa anda siapalah kami,” katanya.
Hari Ibu disambut di seluruh dunia pada Ahad kedua bulan Mei setiap tahun. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!