Sungai Padang Terap bertukar warna merah

Iklan
Orang ramai diminta tidak menghampiri sungai tercemar tersebut sehingga keputusan Jabatan Kimia diperolehi.

ALOR SETAR - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah telah mengambil sampel air dari Sungai Padang Terap berdekatan Kepala Batas yang tercemar dengan bahan berwarna merah.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, sampel berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis bagi mengenal pasti jenis bahan yang dilepaskan ke dalam sungai berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, aduan berhubung pencemaran Sungai Padang Terap itu diterima dari pihak media yang melaporkan rungutan penduduk berkaitan bau busuk yang dipercayai berpunca dari sungai terbabit.

"Jabatan Alam Sekitar kemudian mengerakkan pasukan siasatan ke sungai tersebut dan menyusuri punca pencemaran.

Iklan

"Siasatan mendapati pencemaran itu berpunca dari pelepasan longkang sebuah fasiliti yang terdapat di situ,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Ahad.

Anggota penguat kuasa JAS mengambil sampel air dari longkang yang dicemari bahan berwarna merah.

Sharifah Zakiah berkata, pihaknya turut mengarahkan pihak terbabit menjalankan pembersihan longkang dan sungai yang dicemari itu.

Iklan

"Pihak fasiliti berkenaan bersetuju menjalankan pembersihan tersebut. Mereka juga akan menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan akan kemukakan laporan kepada Jabatan Alam Sekitar negeri,” ujarnya.

Menurutnya, JAS juga mengarahkan sisa pembersihan disimpan sementara waktu untuk menentukan jenis bahan yang dilepaskan.

"Sekiranya bahan tersebut didapati dalam kategori Buangan Terjadual, pihak fasiliti akan diarahkan untuk melupuskannya di premis yang dilesenkan oleh JAS,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai diminta tidak bimbang dengan keadaan tersebut, namun dinasihatkan agar tidak menghampiri kawasan tercemar atau melakukan sebarang aktiviti berhampiran buat sementara waktu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!