BAGAN DATUK - Keahlian UMNO di seluruh negara terus bertambah meskipun pemutihan keahlian dilakukan selepas beberapa ahli serta pemimpin mereka meninggalkan parti.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sehingga kini tiada mana-mana cawangan UMNO di seluruh negara yang dibubarkan malah jumlah cawangan ketika ini hampir 22,000.
Menurutnya, mengambil contoh di Sabah, setiap bulan sebanyak 2,500 hingga 5,000 permohonan keahlian baharu diterima.
"Ini ditambah dengan kehadiran ahli-ahli di cawangan bukan sekadar cukup kuorum, dulu cukup kuorum boleh jalan. Sekarang melebihi daripada itu.
"Keadaan luar biasa ini akan memotivasikan pemimpin akar umbi dan nasional untuk terus turun ke bawah menyantuni mereka," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Perasmian Berkelompok Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan Bahagian Bagan Datuk Tahun 2024 di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk, Sungai Sumun di sini pada Ahad.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO juga mempunyai formula tersendiri untuk memastikan parti tersebut kembali menjadi dominan.
Katanya, UMNO akan mendapatkan kembali kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang calonnya sebelum ini tewas di kedudukan kedua pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Katanya, ia penting untuk memastikan jumlah kerusi yang dimenangi bertambah pada PRU16 mengatasi 26 kerusi sedia ada ketika ini.
"Kita merasakan ada beberapa pendekatan terutamanya di kawasan Parlimen dan DUN yang kita kalah (pada PRU dan PRN), tetapi kita berada di kedudukan kedua, maka formula ini mungkin boleh dibincang, digunakan dan diselesaikan oleh parti-parti lain dalam komponen Kerajaan Perpaduan," katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, jumlah kerusi itu hanya akan diumumkan kemudian memandangkan tempoh PRU16 masih berbaki lebih tiga tahun lagi.
Menurutnya, keutamaan UMNO ketika ini adalah menyusun jentera serta memperkukuh penyatuan dalam kalangan ahli di semua peringkat termasuk akar umbi supaya kekuatan UMNO berjaya dibina semula.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!