[VIDEO] Masalah air tiada kesudahan, penduduk terpaksa beli tangki

Iklan

ROMPIN - Penghuni 150 rumah di Felda Keratong Enam di sini, meluahkan rasa kecewa apabila gangguan bekalan air di tanah rancangan itu sejak tujuh tahun lalu sehingga kini gagal diselesaikan.

Sebahagian penduduk di Felda Keratong Enam yang mahu masalah air di kawasan tanah rancangan mereka diselesaikan segera oleh pihak berkaitan.

Penduduk mendakwa masalah itu menyebabkan mereka terpaksa mengeluarkan modal untuk membeli tangki besar selepas tidak sanggup berulang-alik setiap hari untuk mengangkut air.

Iklan
Iklan

Tinjauan Sinar Harian mendapati penduduk di kawasan tersebut memiliki lebih daripada satu tangki di hadapan rumah bagi membolehkan urusan seharian tidak tergendala.

Tangki pelbagai siaz yang diletakkan di hadapan rumah bagi membolehkan urusan penyimpanan air dibuat.

Peneroka, Rosli Jaini, 41, berkata, kegagalan menangani isu itu menjejaskan kualiti kehidupan mereka terutama penduduk yang sudah lanjut usia.

Iklan

Katanya, disebabkan itu mereka terpaksa mengeluarkan belanja sendiri untuk membeli tong dan tangki bagi menyimpan bekalan air.

Salah seorang penduduk menunjukkan tiada air selepas paip dibuka ketika ditemui Sinar Harian pada Ahad.

"Tangki kena ada, kalau tidak beli tangki macam mana kita hendak simpan air, jadi tangki itu satu keperluan kepada kita penduduk di sini.

Iklan

"Untuk satu tangki (bersaiz kecil) harga sekitar RM100 sebiji, itu belum kos buat tapak (tangki), ini mungkin mencecah RM1,000," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Felda Keratong Enam di sini pada Ahad.

Rosli menunjukkan salinan bil air yang dikatakan mahal, namun masalah bekalan tidak sempurna.

Rosli mendakwa, kadar bil air setiap bulan juga tinggi sedangkan bekalan yang disalurkan kepadanya tidak sempurna, selain kerap berdepan masalah ketiadaan air.

"Air tiada, tapi caj bulanan tinggi, entah apa benda (yang) dicaj (pun) saya tidak tahu, macam bulan ini (kadar bil) RM30, ada juga hingga RM60 sebulan," kata bapa kepada tujuh anak ini.

Sabry Hussein, 66, pula berkata, aduan demi aduan telah dibuat kepada pihak berkenaan, namun masalah tersebut seolah-olah tiada jalan penyelesaian tuntas daripada pihak berkaitan.

Sabry

Luahnya, lebih menyedihkan apabila masalah itu menyebabkan ada segelintir anak peneroka tidak dapat pulang ke kampung halaman pada musim perayaan.

"Masalah bekalan ini selalu terputus-putus, masalah ini semua penduduk lalui bukan saya seorang sahaja. Bila musim perayaan bekalan selalu putus.

"Kalau boleh bekalan air ini pulih macam dulu kala, macam kita baru masuk dulu (mula-mula menetap di tanah rancangan) masalah air tidak pernah timbul," katanya dengan nada kecewa.

Sementara itu, ketua peneroka, Awang Mat Isa, 63, berharap pihak berkaitan dapat menyelesaikan masalah air yang membelenggu penduduk di tanah rancangan berkenaan.

Awang

Ujarnya, walaupun penduduk reda dengan situasi itu, namun langkah jangka masa pendek dan panjang perlu dilaksanakan segera demi kepentingan orang awam.

"Minta pengurusan Paip (Pengurusan Air Pahang Berhad) ambil cakna isu ini, kalau boleh kita tidak mahu berlaku pada masa akan datang sebab masalah ini hampir 10 tahun.

"Masalah ini perlu diambil tindakan segera memandangkan penduduk di Felda Keratong kebanyakan generasi pertama yang rata-ratanya adalah warga emas," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!